Guangxi Perkenal Langkah Sokong Integrasi AI dalam Sektor Pembuatan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 15 September 2025

Wilayah Guangxi di selatan China mengumumkan satu pakej dasar baharu bagi mempercepat integrasi kecerdasan buatan (AI) dengan sektor pembuatan, selaras dengan strategi nasional “AI+”.

Objektif langkah tersebut adalah untuk memperkukuh penyepaduan teknologi AI dalam proses pembuatan bagi mendorong pertumbuhan industri berteknologi tinggi, pintar dan mesra alam.

Menurut kenyataan bersama antara Jabatan Industri dan Teknologi Maklumat serta Jabatan Kewangan wilayah itu, dasar berkenaan adalah memfokuskan kepada perindustrian produk pintar dan pembangunan perisian AI, yang merangkumi bantuan kewangan disediakan untuk projek yang melibatkan terminal pintar, komponen teras, penglihatan komputer, pemprosesan suara, perisian VR/AR, serta platform model berskala besar untuk industri.

Difahamkan, projek yang memenuhi syarat boleh menerima subsidi sehingga RMB5 juta, manakala projek perintis yang berpotensi boleh menerima sehingga RMB10 juta. Syarikat yang memperoleh pensijilan perkhidmatan AI peringkat kebangsaan turut layak menerima insentif bayaran sekali beri.

Kerajaan Guangxi turut menggalakkan syarikat mengguna pakai teknologi AI untuk transformasi pintar dalam pengeluaran, dengan fokus kepada industri utama tempatan seperti metalurgi, logam bukan ferus, petrokimia dan pengeluaran gula. Setiap syarikat yang melaksanakan projek aplikasi model AI boleh memohon subsidi sehingga RMB5 juta.

Bagi mengukuhkan ekosistem industri AI, kerajaan akan menyalurkan insentif sehingga RMB3 juta kepada syarikat, universiti dan institusi penyelidikan bagi membangunkan serta berkongsi set data industri berkualiti tinggi secara terbuka. Pembangunan platform inovasi AI di peringkat kebangsaan dan wilayah turut digalakkan, selain turut diperuntukkan dana untuk menyokong kluster industri AI serta zon khas bagi perusahaan kecil dan sederhana.

Pada masa sama, Guangxi turut merancang memperkukuh pembangunan bakat, menubuhkan pangkalan data penyedia perkhidmatan khusus untuk “AI + Pembuatan”, dan memperluas penggunaan praktikal teknologi AI dalam pelbagai senario pengeluaran.

Video

Berita Berkaitan