- Lain-lain
Liuzhou Gerakkan Transformasi “AI + Pembuatan” di Guangxi
![]() |
Barisan pemasangan kenderaan Wuling New Energy menggunakan robot logistik AI untuk memindah bateri tenaga baharu di Liuzhou, Guangxi, selatan China. (Foto ihsan individu yang diwawancara) |
Pada 6 September, SAIC-GM-Wuling Automobile dan Huawei Technologies telah mengadakan majlis menandatangani perjanjian di Liuzhou, Guangxi, bagi mengukuhkan kerjasama dalam inisiatif "Three Intelligences" Baojun.
Perjanjian ini menandakan satu penaiktarafan besar dalam perkongsian strategik kedua-dua pihak. Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Liuzhou untuk mempromosikan konsep "AI + Pembuatan" serta membangunkan dirinya sebagai pusat aplikasi AI dan inovasi kelompok industri di Guangxi.
Liuzhou kini sedang giat memacu integrasi antara AI dan sektor pembuatan, dengan memanfaatkan kedudukannya sebagai bandar perintis nasional dalam transformasi digital perusahaan kecil sederhana (PKS).
Setakat ini, sebanyak 435 PKS dalam sektor automotif, keluli dan jentera telah memulakan transformasi digital, termasuk penggunaan AI serta teknologi canggih lain bagi memodenkan industri tradisional.
Menurut Guan Weirong, pengarah Biro Sains dan Teknologi Liuzhou, sepanjang tempoh Rancangan Lima Tahun Ke-14, Liuzhou mengutamakan pembangunan kenderaan pintar bersambung serta teknologi hijau rendah karbon sebagai hala tuju utama R&D.
Sejak 2021, bandar itu telah memperuntukkan lebih RMB100 juta untuk pembiayaan penyelidikan saintifik, membantu syarikat dalam mengatasi 91 cabaran teknikal teras, sekali gus menjana manfaat ekonomi sebanyak lebih RMB47.8 bilion.
Tahun ini, industri baru di Liuzhou menunjukkan momentum pertumbuhan yang kukuh. Robot humanoid industri pertama di wilayah itu telah mula dikeluarkan di kilang pintar UBTech, dan kini digunakan di kilang kenderaan komersial Dongfeng Liuzhou.
Pada masa sama, Liuzhou telah mengeluarkan lesen ujian jalan raya awam pertama di wilayah itu untuk kenderaan autonomi berkelajuan rendah, membolehkan ujian dipindahkan daripada tapak tertutup ke jalan terbuka.
Barisan pengeluaran cip laser galium nitrida milik Juxin Technology telah mencapai kapasiti penuh, dengan nilai output meningkat lebih dua kali ganda secara tahunan pada separuh pertama tahun ini. Selain itu, sektor kuasa angin juga sedang membangunkan rantaian perindustrian lengkap, yang diterajui oleh syarikat seperti Jiaze dan Goldwind.
Liuzhou juga telah membentuk model pembangunan dwi-tiang yang menggabungkan pembuatan pintar dengan aplikasi dunia sebenar. Bandar tersebut kini menempatkan 42 pengeluar terminal pintar dan robotik, 12 perusahaan penanda aras pembuatan pintar Guangxi, 75 kilang pintar dan 62 bengkel digital. Ia mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 20,000 unit robot perkhidmatan pintar, serta industri robotik yang merangkumi lebih 50 jenis dalam enam siri produk.
Dari Januari hingga Julai tahun ini, sektor AI di Liuzhou telah menjana RMB5.7 bilion nilai output, meningkat 23.7 peratus berbanding tahun sebelumnya. Selain itu, sebanyak 12 projek perindustrian baharu, masing-masing bernilai lebih RMB100 juta, telah ditandatangani dengan jumlah pelaburan mencecah RMB3.984 bilion. Pelaburan industri pula merekodkan RMB356 juta, iaitu peningkatan sebanyak 11.3 peratus.
- Guangxi Anjur Acara Popularisasi Sains, Galak Penglibatan Pelajar Sekolah
- Pusat Inovasi AI China-ASEAN Tandatangani 67 Projek Kerjasama
- Pelancongan Cipta Peluang Pekerjaan Buat Penduduk Guangxi
- Buah-buahan ASEAN Gerakkan Guangxi Terus Inovasi Kastam, Logistik
- Guangxi Bina Hab Inovasi, Kerjasama AI Berorientasikan ASEAN
- China, ASEAN Bersama Ikhtiarkan Pemiawaian AI
- AI Lonjak Inovasi Industri Tradisional di Nanning, Guangxi
- AI Suluh Haluan E-dagang China-ASEAN
- Terminal Kontena Automatik di Guangxi Mantapkan Dagangan China-ASEAN
- Guangxi Pertingkat Infrastruktur, Mahu Pacu Usaha Bina Gerbang Data ASEAN