Filem Unit 731 Jepun Disiarkan di China, Beri Peringatan Sejarah, Lindungi Keamanan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 19 September 2025

Nota: Artikel terbitan Xinhua ini diterjemah dan diolah oleh People’s Daily Online

Orang ramai berjalan melintasi poster filem ‘Evil Unbound’ di Dewan Pameran Bukti Jenayah oleh Unit 731 Askar Imperial Jepun di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China pada 18 September 2025. (Xinhua/Zhang Dawei)

Orang ramai berjalan melintasi poster filem ‘Evil Unbound’ di Dewan Pameran Bukti Jenayah oleh Unit 731 Askar Imperial Jepun di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China pada 18 September 2025. (Xinhua/Zhang Dawei)

Sebuah filem yang memperlihatkan kekejaman Unit 731 Jepun semasa Perang Dunia Kedua (WW2) mula ditayangkan di pawagam di serata China pada Khamis, yang bertepatan dengan ulang tahun Insiden 18 September dan dipersembahkan dalam bentuk peringatan penderitaan dan ajakan kepada melindungi keamanan.

Di banyak bandar China, tayangan pertama dijadualkan tepat pukul 9.18 pagi, iaitu satu simbolik kepada tarikh Insiden 18 September. Filem tersebut turut mula ditayangkan di Australia dan New Zealand pada tarikh sama, dan dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam Amerika Utara hari ini.

Filem tersebut menceritakan tentang Wang Yongzhang, iaitu seorang peniaga tempatan dan individu lain yang dipenjarakan di dalam ‘penjara khas’ Unit 731, tempat mereka diperdaya oleh janji palsu tentang kebebasan, dengan balasan perlu bekerjasama dengan pemeriksaan kesihatan dan penyelidikan pencegahan penyakit. Tanpa sedar, mereka telah menjadi mangsa eksperimen perubatan.

Bagi menjamin ketulenan sejarah, pasukan penerbitan menghabiskan masa hampir 10 tahun untuk membangunkan skrip dan perfileman. Untuk itu, mereka telah mengumpul bahan-bahan arkib dari tempatan dan luar negara.

“Kami bukan sahaja mahu memperlihatkan permukaan kekejaman. Kami mahu menggunakan filem itu untuk mengajak komuniti antarabangsa untuk menghayati secara mendalam tentang etika perang,” ujar pengarah filem itu, Zhao Linshan.

Unit 731, satu pangkalan penyelidikan perang kimia dan biologi maklumat rahsia penting di Daerah Pingfang Harbin, ibu kota Provinsi Heilongjiang di timur laut China, berfungsi sebagai pusat kritikal untuk perang biologi Jepun di China dan Asia Tenggara semasa WW2.

Rekod sejarah menunjukkan bahawa antara 1940 dan 1945, Unit 731 sekurang-kurangnya meragut 3,000 nyawa dalam eksperimen manusia, dan lebih 300,000 individu di China telah terkorban oleh senjata biologi Jepun.

“Sejarah sebenar adalah lebih brutal berbanding apa yang filem itu boleh gambarkan,” kata Jin Chengmin, kurator kepada Dewan Pameran Bukti Jenayah oleh Unit 731 Askar Imperial Jepun pada Rabu.

Orang ramai melawat di Dewan Pameran Bukti Jenayah oleh Unit 731 Askar Imperial Jepun di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China pada 18 September 2025. (Xinhua/Wang Jianwei)

Orang ramai melawat di Dewan Pameran Bukti Jenayah oleh Unit 731 Askar Imperial Jepun di Harbin, Provinsi Heilongjiang, timur laut China pada 18 September 2025. (Xinhua/Wang Jianwei)

Tambah beliau, kekejaman tersebut disembunyikan dengan penuh rapi oleh pihak berkuasa Jepun selepas perang tamat.

“Kami berharap filem ini akan menarik lebih banyak perhatian terhadap pemahaman dan kajian Unit 731 dan sejarahnya,” ujar Jin.

Seorang penonton yang menceritakan pengalaman ketika menyaksikan babak luka beku, kecederaan terbakar dan viviseksi wanita yang sedang mengandung berkata bahawa dia menutup mata dan telinga kerana tidak sanggup melihat imej yang tidak berperikemanusiaan.

“Saya tidak dapat bayangkan betapa terdesak dan kesakitan yang pejuang kita alami pada masa itu,” ujar pengguna Weibo tersebut.

Penganalisis dan peminat filem bersependapat bahawa pelancaran filem pada saat yang begitu memilukan bukan sekadar untuk mengabadikan kebencian, tetapi mengambil iktibar daripada sejarah.

“Memori ini tidak boleh dilupakan. Menerusi kuasa pawagam, kami berharap untuk membawa kebenaran tentang Unit 731 ke serata dunia,” ujar Zhuang Yan, penerbit eksekutif filem itu.

Memetik platform penjualan tiket dalam talian, Maoyan, menjelang 7 petang Khamis, pendapatan pecah panggung pembukaan ‘Evil Unbound’ telah mencecah RMB280 juta, dengan jumlah penonton mencapai 7.6 juta.

Video

Berita Berkaitan