Aplikasi Mudah Alih Permudah Pertanian, Merevolusikan Tuaian di Luar Bandar Jiangxi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 09 Oktober 2025
Aplikasi Mudah Alih Permudah Pertanian, Merevolusikan Tuaian di Luar Bandar Jiangxi
Min Lixiang mengoperasikan sebuah jentera penuai di kampung Tuqiao, perbandaran Yantian, kaunti Anfu, Ji’an, di Provinsi Jiangxi, timur China. (People’s Daily/Yang Yanfei)

Selepas melalui hari yang panjang, tepat pukul 8 malam di kampung Longyun, perbandaran Yantian, kaunti Anfu, Ji’an, di Provinsi Jiangxi, timur China, Li Minggui merebahkan kerusi goyangnya, dan berbual-bual dengan isterinya tentang tuaian beras.

Li merupakan ketua di pusat perkhidmatan pertanian komprehensif Yantian. Tatkala kebanyakan kawasan di Jiangxi berlumba-lumba untuk melengkapkan musim penanaman padi berganda, kampung-kampung yang berbukit seperti Longyun mula menuai padi tanaman tunggal pada awal September.

Ketika kedua-duanya khusyuk berbual, telefon Li berdering, menerima panggilan daripada seorang petani dari kampung Walou, yang mendapat nombor telefonnya menerusi sistem penghantaran pemesinan kebun Ganjitong, iaitu satu aplikasi mudah alih pertanian.

Difahamkan, petani tersebut sedang mencari perkhidmatan untuk pengeringan padi.

Pada keesokannya harinya, Li menghantar Min Lixiang, seorang veteran pertanian untuk mengetuai kerja-kerja pengeringan padi. Bermula pada 9 pagi, kerja-kerja tersebut selesai pada pukul 3 petang, dan mereka sudah mula menuai padi yang keemas-emasan menggunakan jentera.

“Kami sentiasa mempercayai Min. Hasil nampak sangat memberangsangkan pada tahun ini, iaitu sekitar 700 kilogram per mu (sekitar 10,500 kilogram setiap hektar),” ujar Zhou Hailiang, seorang petani tempatan sambil melemparkan senyumannya.

Tambahnya, dia melanggan perkhidmatan penuh untuk pengurusan ladang pada musim ini, dan Li telah membantunya dalam setiap proses.

“Dengan adanya aplikasi mudah alih Ganjitong, petani boleh menempah perkhidmatan sama seperti mengirim makanan bungkus, daripada penanaman benih dan membajak, kepada pindah tanam, kawalan serangga tuaian dan pengeringan,” jelas Li yang menyimpan lebih 300 kontak petani dalam telefonnya.

Kaunti Anfu telah mewujudkan beberapa pusat perkhidmatan pertanian yang sedemikian, menawarkan penyelesaian sehenti dan bersepadu meliputi keseluruhan kitaran daripada pembenihan sehingga penuaian.

Sebagai salah satu kaunti pengeluar bijirin yang utama di Jiangxi, Anfu mengendalikan sekitar 880,000 mu (sekitar 58,700 hektar) tanah yang dipupuk. Penyepaduan antara pusat perkhidmatan penuh serta platform digital dan berasaskan permintaan telah membolehkan petani tempatan untuk menjadi lebih fleksibel dan kemudahan.

Menurut Ouyang Suqin, ketua bahagian pemesinan pertanian di pusat perkhidmatan luar bandar kaunti itu, data daripada sistem Ganjitong telah disepadukan ke dalam platform pintar di serata kaunti yang menguruskan lebih daripada 500 jentera penuai ladang.

Pada musim kemuncak menuai, penghantaran berpusat telah mendorong kecekapan sebanyak lebih 30 peratus dan menyingkatkan masa menunggu kepada petani sebanyak separuh.

“Sistem tersebut memberikan kami akses masa nyata terhadap kebolehsediaan jentera di serata kaunti, membolehkan kami untuk memperuntukkan sumber di tempat yang paling memerlukan,” ujar Li.

Video

Berita Berkaitan