China, Korea Selatan Ikrar Mantapkan Perkongsian Kerjasama Strategik

(CRI)Ahad 02 November 2025
China, Korea Selatan Ikrar Mantapkan Perkongsian Kerjasama Strategik

China bersedia meningkatkan komunikasi dan kolaborasi dengan Korea Selatan, berganding bahu mendepani pelbagai cabaran serta memantapkan perkongsian kerjasama strategik antara kedua-dua negara bagi menyuntik lebih banyak tenaga positif kepada keamanan dan pembangunan serantau.

Demikian ujar Presiden China Xi Jinping ketika mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Lee Jae-myung di Muzium Nasional Gyeongju pada Sabtu.

Xi menyarankan agar kedua-dua negara memperkukuh komunikasi strategik dan rasa saling percaya, di samping memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan.

Menurut beliau, China bersedia bekerjasama dengan Korea Selatan untuk menggerakkan fasa kedua rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas China-Korea Selatan, serta mencungkil potensi kerjasama dalam sektor memuncul seperti kecerdasan buatan (AI), biofarmaseutikal, industri hijau dan ekonomi perak.

Antara aspek lain yang turut ditekankan Xi adalah merapatkan lagi persahabatan sesama rakyat dan mempertingkat koordinasi multilateral.

Dalam pada itu, Lee berkata kedua-dua pihak perlu mempererat interaksi peringkat tinggi, menggalakkan pertukaran antara parti politik serta di peringkat setempat, selain mengurus percanggahan pendapat dengan baik.

Korea Selatan bersedia memperkasa kerjasama saling untung dengan China dan bersama-sama memelihara kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan sambil memperkukuh pertukaran sosiobudaya antara kedua-dua negara, tambah beliau.

Video

Berita Berkaitan