- Lain-lain
Pusat Kerjasama Aplikasi AI China-ASEAN : Pemacu Baharu Era Digital Serantau

Media-media ASEAN melihat Pusat Kerjasama Aplikasi Kecerdasan Buatan China-ASEAN (CAAIAC) di Nanning, ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi sebagai platform terbaik dalam memperkukuh rangkaian kerjasama antara China dan negara-negara ASEAN dalam bidang kecerdasan buatan (AI), inovasi digital, serta pembangunan ekonomi berasaskan teknologi tinggi.
Natasha Alia Nazar Ali Jinna, wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) yang berkunjung ke pusat itu pada Selasa berkata kehebatan China dalam bidang inovasi dan teknologi memang tidak dapat dinafikan, justeru pusat kerjasama seperti ini secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada negara-negara ASEAN untuk meneroka bidang AI secara lebih holistik.

Sementara itu Rick Orense, pegawai dari Pejabat Komunikasi Presiden Filipina berkata kerjasama China-ASEAN dalam AI sememangnya sesuatu yang sangat bermakna dan istimewa kerana China merupakan peneraju kepada bidang tersebut.
“Sejujurnya, memang bagus dapat menyaksikan dan melawat kemudahan seperti ini, terutamanya apabila China menjadi peneraju kepada perubahan besar ini dan berusaha menyesuaikan diri dengan persekitaran yang sentiasa berubah. Jadi, sebagai negara anggota ASEAN, kita juga perlu mengambil manfaat daripada inisiatif seperti ini memandangkan kita sama-sama sedang berkembang sebagai negara yang akan menyesuaikan diri dengan kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang.”

Natasha dan Rick merupakan antara 70 warga media dari China dan lapan negara ASEAN termasuk Malaysia, Indonesia, Thailand, Kemboja, dan Myanmar yang menyertai aktiviti“China Up Close”- Lawatan Bersama Rakan Media ASEAN 2025 yang berlangsung di Nanning dari 3 hingga 8 November.
Sebagai hab utama AI pertama seumpamanya di rantau ini, CAAIAC berfungsi sebagai platform integrasi teknologi, penyelidikan dan aplikasi praktikal AI, yang menggabungkan kepakaran akademik, sokongan industri serta dasar kerajaan dalam satu ekosistem.
Menurut maklumat rasmi, pusat ini dibina di kawasan pembangunan utama seluas 7.78 kilometer persegi di Nanning, dengan kemudahan yang merangkumi pusat data, ruang pameran inovasi, dan makmal kolaboratif.
Ia turut menyediakan perkhidmatan terbuka kepada institusi penyelidikan, syarikat teknologi, serta universiti dari negara-negara ASEAN.
Difahamkan setakat ini, lebih 60 projek kerjasama telah dimeterai, termasuk 16 projek yang melibatkan negara-negara ASEAN.
Selain pembangunan teknologi, pusat ini turut menumpukan perhatian kepada latihan tenaga kerja dan pertukaran bakat AI, dengan objektif melahirkan generasi pakar teknologi baharu di rantau Asia Tenggara.
Pelancaran rasmi pusat ini disempurnakan semasa Mesyuarat Meja Bulat Peringkat Menteri China-ASEAN mengenai Kerjasama Digital, yang turut memperkenalkan inisiatif “AI Plus” iaitu satu pelan tindakan bagi memperluas penggunaan AI dalam sektor ekonomi digital, pendidikan dan kemampanan alam sekitar.
Bahkan kedudukan strategik Nanning yang bersempadan rapat dengan Asia Tenggara menjadikan bandar ini pintu masuk utama kerjasama teknologi China-ASEAN.
Dengan sokongan dasar kerajaan pusat dan tempatan, pusat AI ini dijangka menjadi pemangkin transformasi digital serantau, serta simbol komitmen bersama dalam membina komuniti inovasi yang berkongsi kemajuan dan manfaat teknologi.
- Nanning Manfaatkan AI Untuk Naik Taraf Pertanian
- Tokoh Akademi China, ASEAN Bincang Isu Tadbir Urus Negara dan Pentadbiran Awam
- Liuzhou Pesatkan Pengaplikasian AI
- Mesyuarat Tidak Rasmi Menteri Pertahanan China-ASEAN ke-15 di Kuala Lumpur
- Sektor tani Nanning Beralih kepada “Kepintaran Berteraskan Data”
- Inisiatif “AI+Pertanian” Guangxi Buah Hasil Signifikan
- Model AI China Menonjol di Arena Global
- Guangxi Kemuka Rancangan untuk Pulau Ekologi Antarabangsa Forum Kerjasama Alam Sekitar ASEAN-China
- China, ASEAN, Bersama Inovasi Khidmat Selia Pasaran
- Kerjasama Kukuh China, ASEAN Jana Unsur Kepastian: MFA




