Inisiatif “AI+Pertanian” Guangxi Buah Hasil Signifikan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 31 Oktober 2025

Pemantauan pintar pertumbuhan mulberi di Kebun Mulberi Hijau Yizhou, Guangxi. Foto oleh Yu Xiangquan

Pemantauan pintar pertumbuhan mulberi di Kebun Mulberi Hijau Yizhou, Guangxi. Foto oleh Yu Xiangquan

Inisiatif “AI+Pertanian” yang dilancarkan Guangxi telah membuahkan banyak hasil signifikan, menurut makluman terbaru Jabatan Pertanian dan Hal Ehwal Luar Bandar wilayah autonomi itu.

Secara spesifiknya, Guangxi telah membentuk sebuah ekosistem pertanian pintar komprehensif memfokuskan lima penaiktarafan iaitu “pengeluaran, perkakasan, kawal selia, data, dan kerjasama antarabangsa”.

Melihat kepada aspek pengeluaran, program Taman Perindustrian Sawah Pintar 5G yang dilaksanakan telah merekodkan kadar ketepatan amaran perosak setinggi 90% menerusi pemantauan cuaca AI, sementara Pangkalan Limau Abung Shatian di kaunti Rong menggunakan dron berkuasa AI untuk menyembur racun perosak pada waktu malam, sekali gus mengatasi masalah kekangan masa yang sering dilihat dalam kaedah-kaedah kawalan perosak biasa.

Dari segi perkakasan, platform pemaklumatan jentera pertanian telah menghubungkan 8,525 terminal BeiDou, dengan 18,000 jentera pertanian dilengkapi sistem pemantauan BeiDou dan 4,000 dipasang sistem pemanduan berbantu pada tempoh membajak musim bunga tahun ini. Pada masa yang sama, lebih 11,000 dron pertanian telah dilancarkan untuk operasi, dan bandar Baise telah melatih lebih 400 juruterbang dron melalui 20 sesi latihan.

Berhubung kawal selia dan data, platform pemantauan ternakan pintar pertama di China mengintegrasikan seluruh proses kebolehkesanan bermula dari peringkat pembiakan hinggalah jualan. Dalam pada itu, lebih 2,300 bot nelayan telah dilengkapi terminal BeiDou, membolehkan fungsi penentududukan dalam masa nyata dan “amaran satu klik”. Selain itu, tersedia juga sebuah pangkalan data komprehensif meliputi 4 kategori utama dan 39 subkategori yang menghimpunkan data teras dari enam bidang termasuk pemeliharaan air dan meteorologi, bagi menyokong proses membuat keputusan.

Dari sudut antarabangsa pula, berbagai-bagai inisiatif telah dilancarkan untuk menggalakkan kerjasama air dan baja pintar dengan Vietnam melalui syarikat seperti Jiegarun Technology. Zon pameran “AI+Pertanian” yang dibuka pada Ekspo China-ASEAN telah merintis empat kerjasama rentas sempadan, antaranya melibatkan perikanan pintar antara China dan Vietnam.

Tambahan lagi, senario penggunaan semakin meluas sejajar dengan penganjuran pertandingan inovatif. Beberapa pangkalan pertanian digital peringkat negara dan wilayah telah menerima sokongan berbentuk dana, dengan “ladang tanpa manusia” merekodkan prestasi terbaik dalam penggunaan tanah, air dan baja. Manakala, Pertandingan Inovasi Pertanian Pintar yang dihoskan oleh Guangxi telah menarik pasukan-pasukan berbakat dari dalam dan luar negara, merancakkan penggunaan dan transformasi pencapaian-pencapaian terpilih melalui satu mekanisme jangka panjang.

Video

Berita Berkaitan