Wuxi Pupuk Industri Muzik yang Berkembang Maju (2)

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 13 November 2025
Wuxi Pupuk Industri Muzik yang Berkembang Maju
Murid-murid dalam kelab erhu memainkan instrumen itu di sebuah sekolah rendah di Wuxi, Provinsi Jiangsu, timur China. (People’s Daily Online/Liu Yijia)

Terletak di Provinsi Jiangsu, timur China, Wuxi telah dinamakan sebagai ‘Bandar Kreatif Muzik’ dan dimasukkan sebagai Jaringan Bandar Kreatif di bawah Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), pada 31 Oktober lalu.

Dilancarkan pada 2004, Jaringan Bandar Kreatif UNESCO merangkumi lapan bidang kreatif iaitu seni bina, seni rakyat dan kraf, seni media, reka bentuk, filem, gastronomi, sastera dan muzik.

Ia berfungsi sebagai platform penting bagi bandar-bandar di serata dunia untuk bertukar-tukar pengalaman dan mempromosi amalan inovasi.

Hua Ying, pengarah pusat promosi bagi pembidaan Wuxi untuk menjadi Bandar Kreatif Muzik UNESCO berkata bahawa, proses pemilihan adalah sangat rumit, meliputi aspek seperti tradisi muzikal, ekosistem muzik, pendidikan, keupayaan pertukaran antarabangsa dan asas industri.

Setakat 2024, 18 bandar China termasuk Beijing, Shanghai dan Shenzhen telah menyertai Jaringan Bandar Kreatif UNESCO, namun tiada yang diiktiraf sebagai Bandar Kreatif Muzik. Pada penghujung 2023, Wuxi secara rasminya melancarkan pembidaannya untuk gelaran itu, sekali gus menjalankan kajian menyeluruh terhadap sumber-sumber muzikalnya.

Bagi Wuxi, permohonan tersebut bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi adalah untuk memajukan objektif pembangunan bandar jangka panjang. Sebagai hab pembuatan utama di Jiangsu, Wuxi merekodkan KDNK sebanyak RMB1.63 trilion pada 2024, dengan KDNK per kapita mencapai RMB217,000. Bagaimanapun, pengaruh budaya antarabangsa masih mempunyai ruang untuk dikembangkan lagi.

Wuxi telah melahirkan ramai pemuzik dan hari ini, ia mempunyai lapan dewan konsert dan teater besar, 18 memorial dan muzium bertemakan muzik, serta lebih daripada 1,000 ruang pertunjukan, termasuk venue kecil dan pentas-pentas komuniti. Pada 2024, Teater Besar Wuxi telah mementaskan lebih daripada 200 pertunjukan berkualiti tinggi.

Ekosistem industri muzik yang membangun secara baik telah memperlihatkan kejayaan Wuxi. Bandar itu mempunyai 370 perusahaan berkaitan muzik dan 2,079 institusi latihan, dengan industri kreatif dan muziknya menjana sekitar AS$1 bilion nilai tambahan setiap tahun.

Di bandar kecil Meicun, daerah Xinwu, lebih daripada 10 bengkel menghasilkan hampir 50,000 alat muzik tradisional China iaitu erhu, pada setiap tahun.

Daripada 18 pembuat harmonika dunia dengan jenama kendiri dan kapasiti pengeluaran penuh, enam daripadanya berpangkalan di Wuxi, seterusnya menjadikan bandar itu sebagai pangkalan pengeluaran harmonika terbesar di dunia.

Wuxi juga cemerlang dari sudut penyertaan komuniti dan pendidikan muzik. Ia mempunyai lebih daripada 500 rombongan muzik amatur dan 80 kelab muzik sekolah.

Di Pekan Purba Dangkou bandar tersebut, persembahan rombongan muzik rakyat tempatan sering menarik pelancong untuk melawat patung Wang Shen, iaitu pemuzik China terkemuka dari Dangkou. Ketua rombongan, Xu Darong menceritakan bahawa mereka mempersembahkan lebih daripada 30 pertunjukan percuma untuk pengunjung pada setiap tahun.

Dekan eksekutif Institut Sains Bandar di Universiti Nanjing, Hu Xiaowu berkata bahawa, gelaran Bandar Kreatif Muzik tersebut akan terus memberi dorongan kepada industri muzik Wuxi, dan mempromosikan lagi pelancongan kebudayaan, pertukaran kesenian, penjenamaan bandar, serta pembangunan perdagangan dan ekonomi.

Malah, muzik turut menjadi jambatan buat Wuxi dan seluruh dunia. Pada tahun-tahun mutakhir ini, Orkestra Simfoni Wuxi telah membuat persembahan di Perancis, Jepun, Belgium dan Croatia. Manakala, Pesta Muzik Etnik Antarabangsa Wuxi Yingyue Erquan pula telah mengalu-alukan pancaragam dari 10 termasuk Kanada dan Itali.

Video

Berita Berkaitan