China, Jerman Komited Perkukuh Komunikasi Strategik

(CRI)Isnin 24 November 2025

Perdana Menteri China Li Qiang mengadakan pertemuan dengan Canselor Jerman, Friedrich Merz di Johannesburg, Afrika Selatan pada Ahad.

Dalam pertemuan tersebut Li menekankan bahawa adalah penting untuk memperkukuhkan dialog dan komunikasi strategik antara China dan Jerman.

Mengulas lanjut Li berkata, China bersedia bersama Jerman untuk menghormati kepentingan teras dan keprihatinan utama negara masing-masing serta mengukuhkan asas pilitik dalam pembangunan hubungan dua hala.

Beliau juga menyeru untuk memperluas kerjasama dalam pelbagai bidang bagi menambah elemen baharu ke dalam hubungan dua hala secara berterusan.

"Jerman diharap dapat mendorong Kesatuan Eropah (EU) untuk mengekalkan kedudukan sebagai rakan kongsi dan memperkasa kerjasama dengan China.

“China bersedia mengukuhkan komunikasi dan koordinasi dengan Jerman dalam pelbagai hala, menggalakkan penambahbaikan tadbir urus global, memelihara amalan multilateral dan perdagangan bebas, serta bertindak sebagai kuasa pembina dan faktor penentu bagi mendorong keamanan dan pembangunan,” kata beliau.

Sementara itu Friedrich Merz pula menyatakan, pihaknya sangat menghargai hubungan dengan China dan mempunyai keyakinan bahawa Rancangan Pembangunan Lima Tahun (FYP) ke-15 China akan menyediakan peluang kepada Jerman dan EU.

“Jerman bersedia untuk mengeratkan ikatan kerjasama bilateral, memperkukuh komunikasi dalam urusan pelbagai hala dan memelihara perdagangan bebas bagi memacu pembangunan yang damai dan stabil di peringkat global,” kata beliau.

Video

Berita Berkaitan