- Lain-lain
Ekonomi Ais dan Salji Hangat di China, Musim Ski Bermula Kuat

Seorang peminat ski menikmati sukan itu di Peranginan Tasik Songhua, sebuah peranginan ski berperingkat kebangsaan di bandar Jilin, Provinsi Jilin di timur laut China. (Xinhua/Xu Chang)
Seiring dengan ketibaan musim sejuk, peranginan ski di serata China secara rasminya dibuka, sekali gus memberi petanda kepada permulaan yang kuat bagi musim ski 2025-2026, dan menyaksikan ledakan dalam pelancongan ais dan salji.
Musim ski tahun ini tiba lebih awal di daerah Chongli, Zhangjiakou, Provinsi Hebei di utara China. Pada 21 Oktober, Peranginan Ski Wanlong membuka tempat skinya, secara tidak langsung menandakan permulaan musim 2025-2026 Chongli dan ia merupakan pembukaan paling awal bagi peranginan itu dalam sejarah.
Wang Yue, seorang peminat ski dari Beijing yang tidak pernah melawat Chongli, tidak mampu menyembunyikan perasaan ingin tahunya, dan mengambil keputusan untuk pergi melawat tempat itu sendiri.
Menerusi pengalamannya dari Stesen Qinghe Beijing ke Stesen Taizicheng Chongli, Wang berkongsi bahawa, petugas di stesen kereta api telah mendapat latihan yang ditambah baik untuk memberi panduan kepada penumpang memuatkan peralatan ski, seterusnya menjamin tiada kelewatan untuk ketibaan dan memastikan keselamatan penumpang.
Tambah beliau, bas ulang-alik juga bersedia menunggu di stesen untuk menghantar penumpang secara terus ke peranginan ski.
Untuk rekod, terdapat sembilan peranginan ski di Chongli termasuk Genting, Thaiwoo, Fulong dan Wanlong, yang menampilkan sejumlah 219 laluan ski sepanjang 178 kilometer. Pada masa sama, 16 laluan telah diperakui dan menerima pensijilan oleh Persekutuan Luncur Salji dan Ski Antarabangsa.
Pada musim yang lalu, Chongli menerima sejumlah 5.24 juta lawatan. Pada musim ini, peranginan ski mengambil peluang untuk memperkenalkan tawaran baharu yang menyepadukan ski dengan hiburan, aktiviti keluarga dan pertandingan.
Memetik data Meituan Travel, sejak minggu kedua November 2025, carian tentang ‘berski di Chongli’ telah melonjak sebanyak 169 peratus dari tahun ke tahun, dengan ledakan ski mendorong peningkatan sebanyak 25 peratus dalam tempahan pelancongan untuk Zhangjiakou pada penghujung November.
Beberapa peranginan ski di serata Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang di barat laut China telah dibuka pada November. Pada 15 November, Peranginan Ski Antarabangsa Laluan Sutera di Urumqi, ibu kota wilayah itu, berjaya menarik 8,000 pengunjung pada hari pembukaannya.

Pelancong menyertai aktiviti rekreasi ais dan salji di bandar Arxan, Liga Hinggan, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China. (Foto oleh Wang Zheng)
Menurut Insitut Penyelidikan Tongcheng, sejak November, banyak tempahan penerbangan dari bandar-bandar utama China ke destinasi pelancongan ais dan salji termasuk Harbin, Gunung Changbai, Urumqi, Altay dan Hulun Buir dilihat telah membangun secara pesat.
Pelbagai pendekatan telah diambil untuk mempromosi pembangunan berkualiti tinggi sukan musim sejuk dan mendorong lagi ekonomi ais dan salji.
Peranginan Ski Wanlong di Chongli telah melalui satu penaiktarafan berskala besar terhadap laluannya, dan membina empat separuh paip untuk menyediakan permukaan yang khusus untuk pemain ski handal.
“Kami telah menaiktarafkan dan mengembangkan program ski malam, dengan menambah sekurang-kurangnya dua lagi laluan. Kami juga menggunakan penyembur salji untuk menghasilkan dua lembah pedalaman yang baharu,” ujar Liu Yu, pengarah promosi Peranginan Ski Wanlong.
Untuk musim ski tahun 2025-2026, Chongli akan menjadi tuan rumah kepada 100 pertandingan ski. Tambahan lagi, aktiviti seperti persembahan sarkas, pertunjukan boneka, persembahan muzik elektronik dan muzikal pula akan diadakan di pelbagai peranginan ski untuk memenuhi keperluan rekreasi pengunjung yang pelbagai.
Dari tempoh musim sejuk 2025 sehingga Mac 2026, Wilayah Autonomi Mongolia Dalam di utara China akan memanfaatkan peranginan ski utama, fasiliti ais dan salji, serta kawasan pemandangan bertaraf A untuk memperkenalkan 159 aktiviti pelancongan dan kebudayaan, 45 laluan premium dan 48 acara bersukan.
Di bahagian utara China, fasiliti seperti cerunan ski kering dan peranginan ski tertutup telah memberi jaminan terhadap akses sepanjang tahun untuk sukan musim sejuk, sekali gus mencipta pilihan buat aktiviti santai yang baharu.
Dunia Salji Qianhai di Shenzhen, Provinsi Guangdong di selatan China telah diiktiraf oleh Guinness World Records sebagai fasiliti ski tertutup terbesar dunia, dan telah memulakan operasinya pada 29 September, serta menerima lebih 5,000 pemain ski setiap hari sehingga kini.
Meliputi kawasan kira-kira 100,000 meter persegi, fasiliti tersebut dilengkapi dengan lima laluan ski profesional dan mempunyai penurunan menegak maksimum 83 meter.
Pada 15 November, Musim Ais dan Salji Awam Kebangsaan ke-11 (bahagian Zhejiang) dan Musim Kecergasan Sukan Ais dan Salji Provinsi Zhejiang 2025 bermula di Taihu Lake Longemont Ice World di Huzhou, Provinsi Zhejiang di timur China, yang menampilkan pelbagai aktiviti dan persembahan.
Sebagai sebahagian daripada Musim Ais dan Salji Awam Kebangsaan, acara tersebut berjaya mendepani kekangan geografi sukan musim sejuk, secara tidak langsung membolehkan penduduk di bahagian selatan China menikmati aktiviti ais dan salji yang berhampiran rumah.
Menurut laporan mengenai pembangunan industri ais dan salji China untuk tahun 2025, saiz industri ais dan salji negara itu dijangka melebihi RMB1 trilion (AS$141.45 bilion) pada tahun 2025.
Perbelanjaan pengguna telah meningkat dengan mendadak. Semasa musim ski 2024-2025, penyertaan dan penggunaan berkaitan melebihi RMB187.5 bilion, iaitu menyaksikan meningkat lebih daripada 25 peratus dari tahun ke tahun.
Perbelanjaan pusat peranginan ski di seluruh negara mencecah RMB78.61 bilion, manakala penggunaan dalam lingkungan 2 kilometer dari pusat peranginan ski meningkat 27.97 peratus, sekali gus memberikan rangsangan yang kukuh kepada perniagaan runcit, pengangkutan dan restoran tempatan.
- Heilongjiang Teruskan Momentum Olimpik Musim Sejuk
- Hebei: Percepat Pembangunan Industri Ais, Salji
- Pesta Ais dan Salji Hohhot Buka Tirai
- Kempen Sukan Ais & Salji OKU China ke-7 Dirasmikan
- Ais dan Salji, Enjin Pembangunan Ekonomi di Xinjiang
- "Dunia Ais dan Salji Harbin" China Dapat Gelaran "Taman Bertemakan Ais dan Salji Terbesar di Dunia"
- Taman Tema Ais dan Salji Tertutup Terbesar di Dunia Dibuka di Harbin
- Ekonomi Ais, Salji China Pamer Momentum Cemerlang
- Ekonomi Ais dan Salji China Tumbuh Pesat
- Dunia Ais dan Salji Harbin ke-26 Dirasmikan
- Jilin Ubah Tempat Peranginan Ski, Jadi Destinasi Sepanjang Tahun
- Demam Sukan Ketara di Seluruh China
- Sukan Musim Sejuk Kebangsaan ke-14 Dirasmikan
- Anjak Sukan Kegemaran Jadi Kerjaya
- Obor, Pingat, Lagu Sukan Musim Sejuk Asia Diumumkan
- Beijing Bersedia untuk Keseronokan Musim Sejuk
- Perkembangan Pesat Industri Ais dan Salji Cipta Peluang Pekerjaan Baharu di China
- Tinjauan CGTN: Ekonomi Ais dan Salji Jadi Pemacu Baharu Ekonomi China
- Kemunculan Kerjaya Baharu Permudah Pembangunan Sukan Ais dan Salji




