- Lain-lain
Akuakultur China Bergerak Dengan Perayauan Penternakan Ikan

Foto sudut udara yang diambil menggunakan dron pada 17 April 2025 ini menunjukkan sebuah kapal akuakultur pintar laut dalam yang berlabuh di pelabuhan limbungan Beihai di Qingdao, Provinsi Shandong, di timur China. (Xinhua/Li Ziheng)
“Di mana sahaja airnya baik, kami akan ke situ,” kata Sun Linlin, pengarah pengeluaran yang bertanggungjawab ke atas Guoxin 1 2-1, sebuah kapal akuakultur pintar laut dalam seberat 150,000 tan.
Kapal tersebut menggunakan sistem tangki perayauan, berpindah ke kawasan yang mempunyai suhu, arus dan kualiti air yang optimum, sama seperti penggembala nomad yang mencari sumber air yang banyak dan padang rumput yang subur.
“Mobiliti memastikan ikan sentiasa berada dalam persekitaran semula jadi yang paling sesuai,” ujar Sun.
Kini, ditempatkan di perairan Zhoushan, Provinsi Zhejiang di timur China, Guoxin 1 2-1 ialah kapal pertama di dunia sebesar itu yang dikhaskan untuk akuakultur pintar.
Untuk rekod, kapal versi dinaik taraf bagi kapal akuakultur pintar Guoxin 1 seberat 100,000 tan pertama di dunia itu telah dilancarkan pada April dan memulakan operasi percubaan secara serta-merta.
Pada awal Mei, lebih daripada 1 juta anak ikan gelama kuning besar telah dimasukkan ke dalam tangki pemeliharaannya, dan menjelang 20 November, kapal itu telah mencatatkan tangkapan tunggal lebih 46,000 ikan dewasa.
Difahamkan, kapal tersebut mempunyai 15 tangki pemeliharaan standard untuk penternakan ikan komersial berskala besar, empat tangki bulat yang menggalakkan aktiviti ikan dan berfungsi sebagai kawasan penyimpanan peralihan, dan 22 tangki eksperimen untuk percubaan makanan dan kajian kesihatan.
Meskipun jumlah isi padu air adalah sebanyak 96,000 meter padu, kapal itu beroperasi dengan hanya 35 anak kapal, yang mana hanya 16 daripadanya adalah kakitangan teknikal dan pekerja yang bertanggungjawab untuk operasi akuakultur.
Sistem kawalan akuakultur berpusat yang sangat cekap dan sistem automatik adalah penting kepada kecekapan ladang ikan bergerak, menurut Sun.
Menurut Sun, lebih 200 kamera dan 2,000 penderia telah membentuk satu rangkaian akuakultur pintar yang memantau keseluruhan kitaran pengeluaran.
Di dalam bilik pemantauan, skrin elektronik memaparkan data masa nyata tentang kelajuan semasa, tahap oksigen, suhu dan jumlah makanan, yang kesemuanya merupakan antara faktor.
“Tangki pemeliharaan dilengkapi dengan sistem kawalan persekitaran yang canggih. Walaupun tangki tertutup, air terus beredar keliling. Ia membantu membersihkan air secara semula jadi sambil memastikan ikan aktif dan sihat,” jelas Sun.
Hampir semua operasi utama di kapal kini dilakukan oleh mesin, daripada penyimpanan anak ikan dan proses pemakanan hinggalah penuaian dan pemprosesan ikan yang sedia untuk dipasarkan.
Kapal tersebut telah mencapai kadar mekanisasi lebih 90 peratus, dengan tahap automasi meningkat 45 peratus berbanding pendahulunya. Sistem pintar itu juga boleh membuat sehingga 30 peratus keputusan penternakan, secara tidak langsung membawa kepada pengurangan kos buruh sebanyak 20 peratus.
Sistem pemakanan automatik mengendalikan operasi harian kapal, yang memerlukan 1 hingga 1.5 tan makanan setiap tangki.
Jelas Sun, dengan terdapatnya pemuatan automatik, troli berpandu rel untuk penghantaran, tong simpanan di atas kapal, dan pendispensan berjadual, hanya dua pekerja yang diperlukan menyiapkan pemberian makanan untuk seluruh kapal setiap hari.
“Dari segi susun atur, sistem penternakan, penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan penyepaduan maklumat, kapal ini menggabungkan lebih 160 kejayaan teknologi dan inovasi pengoptimuman,” tambah beliau.
Guoxin 1 2-1 sedang memacu peningkatan keseluruhan dalam rantaian industri akuakultur marin.
Formula makanan khas dan perisian pintar meningkatkan kualiti produk, manakala sistem logistik menghantar ikan segar ke pasar dalam tempoh enam jam untuk jarak sehingga 500 kilometer dan dalam tempoh 15 jam untuk jarak sehingga 1,000 kilometer.
Pemprosesan hiliran menghasilkan pelbagai produk, yakni daripada ikan segar hinggalah makanan pra-masak, yang kesemuanya bertujuan untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.
Kejayaan Guoxin 1 2-1 hanyalah permulaan. Kapal kembarnya Guoxin 1 2-2, yang dikhaskan untuk salmon, trout dan spesies ikan air sejuk bernilai tinggi yang lain turut berjaya dilancarkan.
Apabila ketiga-tiga kapal dalam siri Guoxin 1 beroperasi pada kapasiti penuh, pengeluaran tahunan dijangka melebihi 10,000 tan.
- Nelayan Keringkan Makanan Laut Untuk Bekalan Pasaran di Bandar Tangshan
- Kualiti Logistik Dipertingkat, Salmon Qinghai Kini Tembusi Pasaran Global
- Larangan Aktiviti Perikanan di Pantai Utara China Berakhir Selepas Empat Bulan
- Nelayan Aojiao Pulang Bawa Tangkapan Lumayan
- Aktiviti Tangkap Ikan Musim Sejuk Bawa Keseronokan di Jiangsu
- Larangan Tangkap Ikan Ditarik Semula, Ratusan Bot Nelayan Kembali ke Laut
- Melabur di Xinjiang | Ikan Meloncat atas Tianshan Sampai ke Dunia Luar
- Teknologi Canggih Bantu Majukan Industri Perikanan China
- Pukat Ikan Menjelang Tahun Baharu Cina
- Kertas Putih Perikanan Pelagik China Disiarkan




