Pelantikan Utusan Khas oleh AS Tidak akan Ubah Apa Jua Hal - PM Greenland

(CRI)Selasa 23 Disember 2025

Perdana Menteri Greenland Jens-Frederik Nielsen pada Isnin berkata, pelantikan utusan khas Amerika Syarikat (AS) ke Greenland oleh Presiden Donald Trump tidak akan mengubah apa jua hal di Greenland.

"Greenland dimiliki penduduk Greenland dan AS tidak dapat mengambil alih tanah ini," kata Nielsen.

Beliau menekankan bahawa masa depan Greenland akan ditentukan oleh rakyatnya, dan integriti wilayah Greenland mesti dihormati.

Dalam pada itu, Pengerusi Parti Rakyat Sosialis Denmark Pia Olsen Dyhr pada Isnin berkata, pengumuman pelantikan utusan khas Greenland oleh Trump menandakan AS sekali lagi berniat untuk mengambil alih Greenland, dan ia menimbulkan rasa tidak selamat dan ketidakpastian.

Sejak memegang jawatan Presiden AS pada awal tahun ini, Trump berulang kali mendakwa ingin mengambil alih Greenland, dengan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekerasan.

Kenyataan Trump telah dikecam dan dibantah keras oleh Denmark serta penduduk Greenland.

Video

Berita Berkaitan