China Seru Kemboja, Thailand Henti Pertempuran, Pulihkan Keamanan

(CRI)Selasa 23 Disember 2025

China menyuarakan harapan agar Kemboja dan Thailand dapat menghentikan pertempuran dan memulihkan keamanan di kawasan sempadan kedua-dua negara secepat mungkin.

Perkara itu disampaikan oleh jurucakap Kementerian Luar (MFA) Lin Jian dalam sidang media di Beijing pada Isnin.

Dilaporkan, Menteri-Menteri Luar ASEAN telah bermesyuarat di Kuala Lumpur pada Isnin bagi membincangkan situasi di sempadan Kemboja- Thailand.

Lin berkata China menghargai dan menyokong kesungguhan ASEAN, khususnya usaha dilakukan Malaysia untuk menggalakkan rundingan damai antara dua negara itu.

Menurut beliau, sejak konflik Kemboja-Thailand kembali memuncak, China terus berperanan sebagai pengantara bagi membantu meredakan ketegangan dengan cara sendiri.

Sebelum ini, Menteri Luar Wang Yi telah berbincang secara berasingan dengan rakan sejawatnya dari Kemboja dan Thailand menerusi panggilan telefon.

Pada masa sama, pegawai kanan MFA mengekalkan komunikasi dengan pihak Kemboja dan Thailand serta negara-negara ASEAN yang berkaitan.

Di samping itu, Utusan Khas MFA bagi Hal Ehwal Asia, Deng Xijun kini sedang melakukan diplomasi ulang-alik (shuttle diplomacy) untuk menggalakkan perdamaian antara pihak terbabit.

Lin berkata China akan terus berusaha untuk mendorong rundingan damai serta memainkan peranan konstruktif dalam membantu meredakan ketegangan di sempadan Kemboja dan Thailand.

Video

Berita Berkaitan