Industri Pembinaan Kapal China Kekal Terdepan 16 Tahun Berturut-turut

Sektor pembuatan kapal China di tempat terdepan dunia dalam tiga penunjuk utama pada 2025, kini untuk tahun ke-16 berturut-turut.

Menurut data terbaru Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, output sektor tersebut mencecah 53.69 juga tan berat mati (DWT) pada 2025, iaitu 56.1 peratus jumlah global. Tempahan baharu mencapai 107.82 juta DWT atau 69 peratus pasaran global, manakala tempahan dalam pegangan dianggarkan bernilai 274.42 juta DWT, mewakili 66.8 peratus syer pasaran global.

Pada 2025, 89.6 peratus output sektor pembinaan kapal China adalah untuk eksport, memenuhi 89.5 peratus tempahan baharu dan 93.2 peratus tempahan dalam pegangan. Dalam erti kata lain, bagi setiap 10 kapal yang dibina di China, hampir 9 akan menuju ke pasaran perkapalan global.

Industri pembinaan kapal China melakar prestasi yang cukup mengagumkan pada 2025 dengan kesemua tiga penunjuk utama melebihi jangkaan, ujar Li Yanqing, naib presiden Persatuan Industri Pembinaan Kapal Negara China.

Foto dron bertarikh 24 Disember 2025 ini menunjukkan China State Shipbuilding Corporation Qingdao Beihai Shipbuilding Co., Ltd. menjalankan kerja-kerja pembinaan kapal di Pangkalan Industri Pembinaan Kapal dan Kejuruteraan Marin Teluk Haixi di Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Guo Xulei)

Foto dron bertarikh 24 Disember 2025 ini menunjukkan China State Shipbuilding Corporation Qingdao Beihai Shipbuilding Co., Ltd. menjalankan kerja-kerja pembinaan kapal di Pangkalan Industri Pembinaan Kapal dan Kejuruteraan Marin Teluk Haixi di Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Guo Xulei)

Kepantasan adalah sebahagian faktornya. Pada 2025, Hudong-Zhonghua Shipbuilding (Group) Co., Ltd., sebuah subsidiari Perbadanan Pembinaan Kapal Negara China (CSSC), menghantar beberapa kapal pembawa gas asli cecair (LNG) kelas 174,000 meter padu untuk projek pengangkutan LNG QatarEnergy.

Selepas yang pertama dihantar pada 2024, kapal-kapal telah tiba hampir setiap bulan sejak itu, memperlihatkan tahap kecekapan yang jauh melangkaui jangkaan, menurut Saad Sherida al-Kaabi, menteri hal ehwal tenaga Qatar.

Foto dron bertarikh 15 Januari 2025 ini menunjukkan kapal persiaran Adora Flora City sedang dibina oleh Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding Co., Ltd. di Shanghai, timur China. (Xinhua/Fang Zhe)

Foto dron bertarikh 15 Januari 2025 ini menunjukkan kapal persiaran Adora Flora City sedang dibina oleh Shanghai Waigaoqiao Shipbuilding Co., Ltd. di Shanghai, timur China. (Xinhua/Fang Zhe)

Kapal yang dibina China juga diakui berbaloi dengan harga. Xu Guangjian, seorang profesor di Sekolah Pentadbiran Awam dan Dasar Universiti Renmin China, menyifatkan daya saing sistemik yang wujud dalam seluruh rantai perindustrian pembinaan kapal negara sebagai faktor sokongan paling penting. Sebagai satu-satunya negara di dunia yang memiliki kesemua kategori perindustrian yang disenaraikan dalam klasifikasi industri PBB, China mempunyai nilai tambah sektor pembuatan yang mewakili 30 peratus jumlah global – kedudukan yang dipertahankannya selama 14 tahun berturut-turut.

“Terdapat konsensus dalam sektor pembinaan kapal global: pada standard teknikal setara, China menawarkan kos pembinaan keseluruhan yang paling rendah; pada harga setara, China menawarkan kemampuan dan kebolehpercayaan yang paling tinggi,” ujar Zhong Zhechao, pengasas dan CEO One Shipping.

Transformasi hijau telah menjadi satu lagi ciri sektor pembinaan kapal China. Pada 2025, syarikat pembina telah memperkenalkan beberapa model kapal hijau dan pintar berkelas dunia, satu kejayaan cemerlang dalam peralihan tahap tinggi industri tersebut serta kemajuan ketara dalam pembangunannya yang dipacu kualiti.

Video

Berita Berkaitan