- Lain-lain
Industri Berlian Buatan Makmal Subur di China
![]() |
Foto menunjukkan bengkel sintesis berlian di Syarikat Henan Huanghe Whirlwind di bandar Changge, Provinsi Henan di tengah China, pada 13 Ogos 2025. (Xinhua/Liu Mengyan) |
Fortune Business Insights melaporkan bahawa industri berlian buatan makmal telah mendapat tumpuan meluas mutakhir ini, dengan pasaran global diunjur untuk bertumbuh daripada AS$25.89 bilion pada 2024 kepada AS$74.45 bilion menjelang 2023.
China turut menjadi penyumbang kepada pertumbuhan tersebut, dengan sektor industri berlian buatan makmalnya memperlihatkan momentum yang kuat.
Menurut Persatuan Perdagangan Barang Kemas dan Batu Permata China, import dan eksport berlian kasar di China direkodkan sebanyak AS$122.96 juta pada 2024, iaitu meningkat 82.11 peratus dari tahun ke tahun.
Manakala, berlian buatan makmal yang sudah siap pula memperlihatkan nilai import dan eksport mencecah AS$194.6 juta pada tahun sama, atau peningkatan sebanyak 78.09 peratus berbanding tahun terdahulu.
Li Jianhua, ketua pegawai teknologi bahagian berlian di Syarikat Henan Huanghe Whirwind berkata bahawa berlian buatan makmal dihasilkan menggunakan dua kaedah utama iaitu proses suhu tinggi dan tekanan tinggi yang menyerupai keadaan semula jadi, atau menggunakan pemendapan wap kimia yang dibantu plasma gelombang mikro.
Berlian buatan makmal menyamai berlian asli dari sudut komposisi, rupa dan bentuk, namun lebih murah. Satu karat berlian buatan makmal boleh dihasilkan dalam tempoh seminggu, berbanding dengan proses panjang yang diperlukan untuk pembentukan semula jadi.
China telah menguasai pengeluaran besar-besaran berlian buatan makmal dengan kualiti yang konsisten menerusi kemajuan teknologi.
Liu Xiaolei, pengarah jualan jabatan berlian di syarikat sama memberitahu bahawa perubahan tabiat pengguna dan kelebihan produk itu sendiri telah mendorong kepada pengembangan pasaran yang signifikan untuk berlian buatan makmal pada tahun-tahun kebelakangan ini.
Pada masa sama, berlian buatan makmal juga popular dalam kalangan pengguna muda China yang menggunakan platform dalam talian termasuk Xiaohongshu, Weibo, dan WeChat. Beberapa kedai istimewa dalam platform Taobao melaporkan jualan yang melebihi RMB1 juta, manakala bualan mengenai berlian buatan makmal telah menjana lebih 19.57 tontonan dan perbincangan.
Kini, lebih ramai individu yang membeli barang kemas sebagai tanda menghargai diri sendiri serta menzahirkan gaya peribadi. Guo Tianying, pengurus pembangunan pasaran di pusat perdagangan antarabangsa berlian buatan makmal Zhengzhou di Provinsi Henan menyatakan bahawa pengguna muda semakin memandang barang kemas buatan makmal sebagai pilihan lebih bergaya berbanding sebagai wadah pelaburan.
Meskipun trend tersebut mempunyai masa depan yang cerah, industri berlian buatan makmal mendepani cabaran. Liu Yongqi, presiden Persatuan Perdagangan Barang Kemas dan Batu Permata China cawangan berlian buatan makmal berkata bahawa, walaupun sektor itu menunjukkan pertumbuhan yang stabil, pembangunan rantai industri yang tidak serata serta kesedaran pasaran yang tidak mencukupi akan terus memberikan cabaran.
Memetik laporan 2024 mengenai perkembangan industri barang kemas China, negara Tembok Besar itu menghasilkan kira-kira 22 juta karat berlian buatan makmal pada 2024, iaitu peningkatan 144.44 peratus dari tahun ke tahun, sekali gus menyumbang sebanyak 63 peratus daripada pengeluaran global.
Li berkata, China cemerlang dalam kapasiti pengeluaran huluan, namun mempunyai kelemahan dalam keupayaan pemotongan dan penggilap tengahan.
Beliau mengajak agar kerjasama yang lebih kukuh dapat dijalinkan antara syarikat huluan dan hiliran, penyepaduan sumber yang lebih baik serta teknologi pemotongan dan penggilap yang dinaik taraf untuk mengembangkan jualan, seterusnya mewujudkan rantaian perindustrian yang cekap.
“Inovasi teknologi adalah kunci kepada pembangunan mampan,” kata Wang Qinsheng, ketua pakar asas industri bahan super keras di bawah Program Obor China. Beliau mengesyorkan untuk mengembangkan tenaga kerja pemprosesan berlian China dan meningkatkan keupayaan automatik bagi membina rantaian industri yang lengkap daripada berlian kasar kepada berlian siap.
Selain itu, sokongan dasar, pembinaan jenama dan jangkauan global juga penting untuk pertumbuhan berkualiti tinggi sektor berlian buatan makmal China.
Ketika ini, Zon Ekonomi Lapangan Terbang Zhengzhou sedang giat dalam pembinaan pusat perdagangan antarabangsa berlian buatan makmal. Memanfaatkan kelebihan habnya, pusat itu menyasarkan untuk memperkemas proses import-eksport kastam dan membina platform pengagihan buat pasaran antarabangsa dan domestik.
- FYP ke-14: China Sumbang 30 Peratus Nilai Tambah Industri Pembuatan Global
- Pembuatan Pintar Dorong Industri Pakaian Seragam Sekolah di Zhili
- Tempat Kecil di China Lahirkan Industri Besar
- “Ibu Kota Mainan” China Lengkapkan Taman Permainan Sedunia
- Skala Industri Pembuatan China Kekal Tangga Teratas di Dunia Selama 15 Tahun
- Pengeluaran Telefon Pintar China Meningkat 9.3% Pada 2024
- Industri Pembuatan Berteknologi Tinggi China Berkembang Pesat
- Perkasa Agenda Penaiktarafan Industri Automobil - PM Li Qiang
- "Kesibukan" Perkilangan Pasca Cuti TBC 2024
- Martabatkan Kemandirian Pupuk Barisan Jurutera yang Berkaliber -- Xi