- Lain-lain
Eksport Magnet Peti Sejuk Yiwu Langkaui 1 Juta Unit Setiap Hari

Foto memperlihatkan magnet peti sejuk yang dijual di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu di Provinsi Zhejiang, timur China.
Di Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu yang terletak di Provinsi Zhejiang, timur China, Wu Xiangjuan, yang telah berkecimpung dalam perniagaan magnet peti sejuk selama lebih 20 tahun, kelihatan lebih sibuk daripada biasa pada cuti panjang sempena Hari Kebangsaan dan Pesta Kuih Bulan awal bulan baru-baru ini.
Menurutnya, bagi menarik pasaran waktu cuti, Wu mula menawarkan beberapa rekaan asli miliknya di kedai fizikal, dan jualan harian direkodkan melebihi 5,000 unit. Katanya, pada tempoh tersebut, ratusan peminat magnet peti sejuk dari serata China melawat kedainya setiap hari.
Pasar Perdagangan Antarabangsa Yiwu ialah salah satu hab pengeluaran dan jualan terbesar negara untuk magnet peti sejuk. Data daripada Chinagoods, laman web rasmi Yiwu China Commodities City menunjukkan bahawa carian dalam talian untuk magnet peti sejuk telah meningkat secara berterusan, dengan pesanan meningkat 2.3 kali ganda dan nilai transaksi meningkat dua kali ganda sejak dua tahun lalu.
Sejak awal Oktober, lebih 1 juta magnet telah dihantar setiap hari dari Yiwu kepada pelanggan di seluruh dunia.
Meskipun tempoh cuti sudah berakhir, namun permintaan masih tidak menunjukkan tanda perlahan.
“Pelanggan mula membuat tempahan untuk magnet bertemakan budaya dan pelancongan ini seawal akhir Ogos, dengan 40,000 hingga 50,000 unit ditempah setakat ini dan lebih banyak tempahan masih masuk,” kata Wu.
Walaupun beroperasi pada kapasiti penuh, kilangnya masih mempunyai kekangan untuk memenuhi permintaan yang meningkat.
Pertumbuhan pesat industri telah mendorong pengeluar dan peruncit magnet peti sejuk Yiwu untuk menggunakan teknologi dan model perniagaan baharu untuk meningkatkan kecekapan dan kreativiti.
“Dengan kesan salji yang turun, anda dapat merasai kemeriahan musim sejuk dengan serta-merta,” kata Zhao Jinde, seorang pemilik kedai. Dia dan seorang pereka bentuk sedang menunjukkan alat AI untuk mencipta reka bentuk magnet bertema salji. Dalam masa 10 minit, mereka menghasilkan pemaparan 3D magnet kristal dan kayu berputar dengan kesan salji.
Zhao juga telah melatih kakitangannya dalam penghasilan video dan mula menggunakan model AI ‘World Yiwu’ untuk menterjemah kandungan Cina ke dalam pelbagai bahasa untuk pemasaran global yang disasarkan.
“Daripada rekaan kepada promosi, AI telah membantu kami dalam menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan pada setiap peringkat yang kritikal,” ujarnya.
Persaingan pasaran yang sengit mendorong perniagaan untuk terus berinovasi. Menurut Li Hongsong, setiausaha agung Dewan Perniagaan Seni & Kraf Pasaran Komoditi Kecil Yiwu China, peniaga melancarkan daripada ratusan hingga lebih 1,000 produk baharu setiap tahun, dan reka bentuk yang gagal menarik perhatian akan dihapuskan dengan pantas.
“Setiap pesanan dan reka bentuk baharu memperdalam pemahaman kami tentang keperluan pelanggan dan arah aliran pasaran. Proses itu mendorong kami untuk menaik taraf barisan pengeluaran kami dan memperkemaskan ketukangan kami,” kata Li.
- Industri Basikal Makmur di Kaunti Wuhe
- Industri Berlian Buatan Makmal Subur di China
- FYP ke-14: China Sumbang 30 Peratus Nilai Tambah Industri Pembuatan Global
- Pembuatan Pintar Dorong Industri Pakaian Seragam Sekolah di Zhili
- Tempat Kecil di China Lahirkan Industri Besar
- “Ibu Kota Mainan” China Lengkapkan Taman Permainan Sedunia
- Skala Industri Pembuatan China Kekal Tangga Teratas di Dunia Selama 15 Tahun
- Pengeluaran Telefon Pintar China Meningkat 9.3% Pada 2024
- Industri Pembuatan Berteknologi Tinggi China Berkembang Pesat
- Perkasa Agenda Penaiktarafan Industri Automobil - PM Li Qiang




