- Lain-lain
Detik Biasa Menjadi Seni di Mata Gunting

Foto menunjukkan sebuah karya guntingan kertas oleh Liu Guanyu. (Foto oleh penerima wawancara)
Liu Guanyu, pewaris generasi ketiga seni guntingan kertas Xuzhou, diberikan penghormatan pada upacara Anugerah Shanhua ke-17 baru-baru ini. Mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, siri 100 karya ciptaan Liu mengabadikan detik-detik biasa dalam kehidupan harian, kenangan hidup di desa, serta emosi manusia, dicorakkan dengan begitu halus pada sekeping kertas.
Lahir pada tahun 90-an, anak kelahiran kaunti Peixian di provinsi Jiangsu, timur China ini belajar menggunakan gunting pada usia 5 atau 6 tahun, bermula dengan corak dekoratif yang dipelajari daripada ibunya.
Perjalanan artistik Liu membawanya jauh dari kampung halaman pada 2013 apabila dia masuk universiti di provinsi Anhui. Untuk mengubat rasa rindu, dia mula mengekspresi diri melalui guntingan kertas, melahirkan siri karya “kerinduan terhadap kampung halaman”.

Foto menunjukkan sebuah karya guntingan kertas oleh Liu Guanyu. (Foto oleh penerima wawancara)
Setahun kemudian, di bawah bimbingan seniman unggul Anhui, Ge Tingyou, dan kemudiannya pewaris warisan budaya tak ketara peringkat negara, Wang Guiying, Liu mengasah kemahirannya secara sistematik.
Sepanjang dua tahun terakhir pengajian, Liu mentransformasikan saat-saat dalam kehidupan harian ibu tersayang menjadi 53 guntingan kertas. Hasil tangannya bukan sahaja menarik perhatian lingkungan artistik, malah membantu membentuk gayanya yang tersendiri.
Selepas tamat pengajian, Liu bekerja sebagai pereka grafik sambil berlatih menggunting kertas setiap hari. Ketika inilah tercetusnya inspirasi untuk Liu mencipta satu siri baharu berdasarkan detik-detik biasa dalam kehidupan hariannya.

Foto menunjukkan sebuah karya guntingan kertas oleh Liu Guanyu. (Foto oleh penerima wawancara)
Karya Liu dengan mudahnya mencuri tumpuan kerana berani menonjolkan kesederhanaan. Berbeza dengan teknik tradisional yang gemarkan rekaan yang berwarna merah, berjalin-jalin dan kompleks, Liu mengambil pendekatan yang lebih ekspresif dan minimalis dengan menggunakan warna terang dan gubahan yang berlapis-lapis. Dipengaruhi latihannya dalam komunikasi visual, dia mengintegrasikan teknik klasik seperti corak bergerigi dengan prinsip rekaan moden seperti kontras, keseimbangan dan gubahan ruangan.
Liu juga mencuba teknik kolaj berbilang lapis, yang dapat dilihat jelas dalam "Let Me Cut the Flowers" yang mengambil masa 500 jam untuk siap. Dalam karya contoh ini, motif tradisional disatukan dengan kolaj berbilang lapis.
Pada 2023, Liu berhenti kerja untuk memberikan perhatian sepenuh masa kepada guntingan kertas. Dia membuka sebuah bengkel kecil di Xuzhou, dan mula menerapkan elemen seninya dalam barang kegunaan harian seperti magnet peti sejuk, rantai kunci dan poskad.

Liu Guanyu menghasilkan sebuah karya guntingan kertas. (Foto oleh penerima wawancara)
Liu Guanyu creates a paper-cutting artwork. (Photo courtesy of the interviewee)
Dia juga mengambil ilham daripada mercu tanda, kuisin dan lambang budaya tempatan dalam proses mereka cipta. Peralihan ini membuahkan hasil apabila jumlah jualan harian melonjak daripada 800 yuan kepada 8,000 yuan.
Kolaborasi bersama penyanyi pop Xu Song meluaskan lagi capaian Liu. Dengan menggabungkan logo Xu Song bersama mercu tanda Xuzhou, Liu menghasilkan guntingan kertas sempena konsert penyanyi itu – karya tersebut menjadi tular, mengundang penonton untuk meneroka semula bentuk seni ini.
Nekad untuk mewariskan tradisi, Liu telah mengajar seni guntingan kertas di lebih 50 sekolah dan menjadi mentor kepada lebih 200 pelajar muda. Tutorial dan karya yang dikongsikannya di media sosial telah ditonton lebih 5 juta kali.
- Hidupkan Monumen dan Tinggalan Sejarah melalui Pembaikpulihan dan Perlindungan
- Festival Bot Qintong Diadakan di Taizhou, Jiangsu
- Budaya Sebagai Jambatan Pamer Kecemerlangan Wanita – Diplomat China, ASEAN Bincang Warisan Budaya
- Warisan Budaya Maritim, Pengikat Hubungan China-Malaysia
- Bihun Shengzha, Warisan Budaya di Hujung Lidah
- Persembahan Rakyat Yangshuo Terangi Malam Beijing
- Kraf Tradisional Pacu Pemulihan Luar Bandar di Yongkang
- Guizhou Beri Nafas Baharu Untuk Warisan Tunpu
- Wanita Warga Emas di Yunnan Jalani Hidup Lebih Bermakna Menerusi Lukisan
- Persekutuan Baharu Untuk Lindungi Warisan Budaya RCEP




