Wang Yi Ziarahi Raja dan Bonda Ratu Kemboja

(CRI)Khamis 18 Jun 2026

Menteri Luar China, Wang Yi yang mewakili Presiden China, Xi Jinping menziarahi Raja Kemboja Norodom Sihamoni dan Bonda Ratu Norodom Monineath yang kini berada di Beijing bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan berehat.

Dalam pertemuan tersebut, Wang Yi menyampaikan salam mesra dan ucapan selamat daripada Xi dan isterinya, Peng Liyuan.

Wang berkata, persahabatan antara China dan Kemboja diasaskan secara peribadi oleh mendiang Norodom Sihanouk yang merupakan bekas Raja Kemboja dan Bapa Kemerdekaan negara itu, bersama generasi pemimpin China terdahulu.

Menurut Wang, tahun ini merupakan ulang tahun ke-70 lawatan pertama Raja Norodom Sihanouk ke China, satu peristiwa penting dalam sejarah hubungan kedua-dua negara.

Katanya, pihak China bersedia bekerjasama dengan Kemboja untuk meneruskan persahabatan tradisional, memperdalam kepercayaan strategik dan meningkatkan kerjasama praktikal, demi membawa lebih banyak kesejahteraan kepada rakyat kedua-dua negara serta menyumbang kepada keamanan serantau dan dunia.

Pada pertemuan tersebut, Raja Sihamoni dan Bonda Ratu Monineath meminta Wang Yi menyampaikan salam dan ucapan selamat mereka kepada Presiden Xi dan isterinya.

Baginda berdua juga menyatakan penghargaan kepada pihak China atas sokongan berterusan yang diberikan kepada keluarga diraja Kemboja, termasuk kemudahan rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan yang disediakan di Beijing.

Selain itu, Raja Sihamoni dan Bonda Ratu Monineath turut mengucapkan terima kasih atas bantuan ikhlas China terhadap pembangunan ekonomi dan sosial di Kemboja sejak sekian lama.

Video

Berita Berkaitan