Myanmar Berharap Eratkan Kerjasama dengan China dalam Segenap Aspek - Min Aung Hlaing

(CRI)Isnin 22 Jun 2026

Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing menyatakan bahawa Myanmar dan China sebagai dua negara yang bersemangat kejiranan, sudah mencapai konsensus untuk membina komuniti berkongsi nasib Myanmar-China. Myanmar akan terus menyemarakkan semangat kejiranan dan menyuburkan persahabatan dengan China, teguh memperdalam kerjasama dua hala dan berusaha bersama-sama menggalakkan perpaduan dan koordinasi serantau.

Min Aung Hlaing berkata demikian dalam satu temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Beliau mengatakan asas kerjasama antara Myanmar dan China adalah kukuh, skopnya luas, dan merangkumi pelbagai bidang.

"Baik ketika melihat realiti semasa mahupun ketika menjangkau ke masa depan, kita perlu terus memperdalamkan kerjasama dua hala dengan penuh ketekunan, memupuk rasa saling percaya dan menyuburkan persahabatan tradisi," kata beliau.

Apabila membicarakan tentang pencapaian pembangunan China, Min Aung Hlaing menyatakan bahawa pada era baharu sekarang ini, China telah mencapai kemajuan yang pesat, yang dapat disaksikan oleh semua. China wajar dijadikan contoh teladan bagi Myanmar dalam pelbagai bidang khusunya pembinaan infrastruktur. Selain itu, bidang kejuruteraan, teknologi elektronik, teknologi angkasa lepas, pembiakan benih dan pengeluaran perindustrian juga mempunyai potensi kerjasama yang amat besar.

"Kita harus terus memperluaskan landskap kerjasama Myanmar-China, meningkatkan pelaburan, dan menambah skala perdagangan dua hala," ujar beliau.

Semasa tempoh lawatan ke China pada 16 hingga 19 Jun, Min Aung Hlaing telah mennimba pengalaman dari pembinaan kereta api China di Beijing, dan bertolak ke Shanghai dengan menaiki kereta api berkelajuan tinggi "Fuxing" untuk merasai sendiri "kelajuan China". Seterusnya di Hangzhou, beliau memilih melakukan kunjungan ke perusahaan teknologi tinggi.

Min Aung Hlaing menyatakan bahawa kerjasama Myanmar-China berada di landasan yang pelbagai, merangkumi bidang industri, teknologi, kebudayaan, kesihatan, sukan dan sebagainya.

"Myanmar gah dengan identitinya sebagai satu negara yang terlibat dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang menekankan pembangunan bersama dan menyasarkan kemakmuran dan pembangunan dunia.

"Koridor Ekonomi Myanmar-China yang terletak di bawah rangka kerja Inisitif ini, sangat kondusif bagi pembangunan negara Myanmar serta penggalakan kerjasama Myanmar-China, malah membantu kami memperbanyak akses ke peringkat dunia," ujar Min Aung Hlaing.

"Oleh itu, saya ingin mengatakan bahawa BRI adalah satu inisiatif yang sangat baik. Negara kami dan saya sendiri sedang berusaha sepenuhnya untuk bersama-sama menjayakan projek-projek berkenaan di bawah inisiatif itu, " tambah beliau.

Video

Berita Berkaitan