Bekalan Gas Asli dari Ladang Minyak Tarim Melebihi 400 bilion Meter Padu

(CRI)Isnin 13 Julai 2026

Ladang Minyak Tarim sebagai sumber utama bagi projek "Penghantaran Gas dari Barat ke Timur" di China telah mencatatkan bekalan gas asli secara kumulatif lebih 400 bilion meter padu melalui rangkaian kebangsaan, yang dilihat sebagai jaminan kukuh bagi pengeluaran dan kehidupan harian membabitkan hampir 500 juta orang penduduk yang menetap di kawasan bahagian timur.

Menurut maklumat daripada China National Petroleum Corporation (CNPC) pada Isnin, pengeluaran gas asli kekal stabil di Ladang Gas Kela-2 yang wujud sebagai sumber utama di Zon Kela-Keshen yang sudah dilengkapi beberapa siri telaga ultra-dalam yang baru beroperasi, dan dikenalpasti mempunyai kapasiti simpanan lebih satu trilion meter padu.

Seorang pegawai CNPC yang bertugas di Stesen Pemprosesan Kela Ladang Minyak Tarim, Zhang Long menyatakan, sejak diteroka dan dibina pada 22 tahun yang lalu, Ladang Gas Kela-2 telah merekodkan bekalan gas secara kumulatif melebihi 150 bilion meter padu yang disalurkan ke kawasan bahagian timur, dan disokong oleh pengoperasian dan pembangunan yang bercekapan tinggi.

Ladang Minyak Tarim terletak di Lembangan Tarim, lembangan terbesar di daratan China yang mengandungi minyak dan gas, khususnya sumber gas asli yang kaya.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, China terus mempergiatkan penerokaan terhadap lapisan ultra-dalam di Ladang Minyak Tarim sehingga berjaya menemui dua zon gas gergasi berkapasiti setrilion meter padu, iaitu Kela-Keshen dan Bozi-Dabei. Dilaporkan bahawa pengeluaran kekal stabil dan efisien di kedua-dua zon gas tersebut, yang gah dengan pengeluaran gas tahunan melebihi 31 bilion meter padu untuk enam tahun berturut-turut.

Pada masa ini, bekalan gas asli dari Ladang Minyak Tarim yang disalurkan terus ke kawasan Delta Sungai Yangtze di bahagian timur China, mencecah lebih dua juta meter padu per jam.

Video

Berita Berkaitan