Masyarakat Antarabangsa Diseru Desak Jepun Hentikan Usaha Pinda "Tiga Prinsip Bukan Nuklear"

(CRI)Selasa 21 Julai 2026

China menyeru masyarakat antarabangsa dan semua pencinta keamanan di Jepun agar mendesak pihak berkuasa pentadbiran negara itu melaksanakan kewajipannya di bawah Perjanjian Pengawalan Senjata Nuklear (NPT), meninggalkan sepenuhnya hasrat "ketenteraan semula" dan pemilikan senjata nuklear serta menghentikan usaha untuk meminda "Tiga Prinsip Bukan Nuklear".

Demikian dinyatakan jurucakap Kementerian Luar China, Lin Jian dalam sidang media pada Isnin.

Menurut laporan, sejak Sanae Takaichi memegang tampuk pemerintahan, sebanyak 82 dewan tempatan di Jepun termasuk Hiroshima dan Nagasaki, telah mengemukakan surat kepada kerajaan pusat, menuntut agar pentadbiran Takaichi mematuhi "Tiga Prinsip Bukan Nuklear" atau mewartakannya sebagai undang-undang.

Sebelum ini, Parti Pemulihan Jepun yang merupakan sebahagian daripada gabungan pemerintah Jepun telah mencadangkan kepada kerajaan Jepun agar membincangkan mengenai pindaan terhadap "Tiga Prinsip Bukan Nuklear".

Mengulas mengenai perkara ini, Lin berkata, seruan kuat dewan-dewan tempatan Jepun untuk mempertahankan "Tiga Prinsip Bukan Nuklear" mencerminkan suara rakyat yang mahukan keamanan.

"Jika pihak berkuasa pemerintah Jepun terus tersilap menilai situasi dalam isu nuklear dan berdegil meneruskan usaha meminda 'Tiga Prinsip Bukan Nuklear' serta memperkenalkan penempatan senjata nuklear negara sekutu di Jepun, mereka pasti akan menanggung akibat yang berat", kata Lin.

Menurut Lin, Takaichi pada Februari tahun ini masih menegaskan kembali komitmennya terhadap "Tiga Prinsip Bukan Nuklear", sementara wakil Jepun yang menghadiri Persidangan Kajian Semula NPT pada Mei berulang kali mengesahkan pendirian untuk tidak mengubah "Tiga Prinsip Bukan Nuklear".

Kata-kata itu masih jelas kedengaran.

Justeru, masyarakat antarabangsa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap perkara ini.

Video

Berita Berkaitan