Mesyuarat APEC di Chengdu Promosikan Pembangunan, Kerjasama AI

Foto bertarikh 23 Julai 2026 ini menunjukkan sebuah pemasangan bertemakan Mesyuarat Menteri Digital dan AI APEC 2026 di Chengdu, provinsi Sichuan, barat daya China. (Xinhua/Wang Xi)

Foto bertarikh 23 Julai 2026 ini menunjukkan sebuah pemasangan bertemakan Mesyuarat Menteri Digital dan AI APEC 2026 di Chengdu, provinsi Sichuan, barat daya China. (Xinhua/Wang Xi)

Sebelum sebuah chatbot AI sempat menjawab pertanyaan pelajar di Bangkok, teknologi di sebaliknya kemungkinan sudah pun merentasi beberapa sempadan di merata Asia.

Chatbot tersebut tersedia di AI Class ASEAN, platform pembelajaran digital kendalian Yayasan ASEAN yang berpangkalan di Jakarta dengan sokongan Google.org. Ia menggunakan model bahasa besar sumber terbuka Southeast Asian Languages in One Network (SEA-LION) yang dibangunkan oleh AI Singapore untuk lebih memahami bahasa, budaya dan konteks serantau.

Platform ini berserta keluarga SEA-LION yang lebih besar termasuk model utama berasaskan platform sumber terbuka Qwen Alibaba, menawarkan suatu previu yang menguja tentang bagaimana AI dapat mengambil bentuknya di seluruh Asia Pasifik melalui pembangunan sumber terbuka, penyetempatan dan penggunaan rentas sempadan.

Pendekatan secara rentas sempadan ini menjadi fokus di bandar Chengdu, barat daya China, lokasi untuk lebih 500 wakil dari negara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) berkumpul pada siri acara Minggu Digital yang berlangsung dari 16 hingga 29 Julai. Jadual acara termasuk Mesyuarat Menteri Digital dan AI APEC pada 23 Julai, bertemakan “Teknologi Digital dan AI demi Pemerkasaan Sebuah Komuniti Asia Pasifik”.

Menurut statistik rasmi APEC pada 2025, 21 negara anggotanya mewakili 3 bilion penduduk serta 61.6 peratus KDNK sebenar global. Kemampuan rantau ini meliputi beberapa bidang dalam rantaian nilai AI daripada pembangunan model dan pengeluaran semikonduktor hinggalah perkilangan.

Pemimpin APEC menganggap kepelbagaian ini meletakkan seluruh rantau di “kedudukan unik untuk memanfaatkan potensi strategik AI”. Yang paling penting ialah bagaimana kelebihan ini dapat dihimpunkan untuk membolehkan inovasi menjana pertumbuhan yang lebih luas.

Para menteri yang hadir telah meluluskan Kenyataan Menteri Digital dan AI APEC 2026, juga dikenali sebagai Kenyataan Chengdu. Ia menggalakkan negara anggota mendorong transformasi digital dan AI dalam sektor seperti pembuatan, pertanian dan perkhidmatan, di samping menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan produk dan penyelesaian digital yang mudah dilaksanakan pada kos yang berpatutan.

Pada Forum Peringkat Tinggi APEC mengenai AI yang diadakan di Chengdu pada 24 Julai sempena Minggu Digital APEC, China mengumumkan rancangan untuk menubuhkan sebuah pusat di Qianhai, Shenzhen, untuk mempromosikan kerjasama APEC melibatkan aliran data rentas sempadan. Pusat tersebut akan berfungsi sebagai platform terbuka untuk penyelidikan data, pelarasan peraturan dan perkhidmatan buat syarikat.

Video

Berita Berkaitan