China Catat Pertumbuhan Kukuh untung Industri

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 28 Oktober 2026

Pekerja menjalankan tugas di sebuah bengkel Harbin Electric Machinery di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 April 2026. (Xinhua/Wang Song)

Pekerja menjalankan tugas di sebuah bengkel Harbin Electric Machinery di Harbin, provinsi Heilongjiang, timur laut China, 21 April 2026. (Xinhua/Wang Song)

Firma-firma perindustrian utama China merekodkan pertumbuhan kukuh pada sembilan bulan pertama 2026, didorong oleh hasil yang memberangsangkan dalam industri elektronik dan pembuatan canggih.

Menurut data Biro Statistik Negara (NBS) pada Selasa, keuntungan dijana oleh firma perindustrian yang hasil tahunan daripada perniagaan utamanya mencecah 20 juta yuan meningkat 15.5 peratus tahun ke tahun dalam tempoh Januari hingga September, mengekalkan pertumbuhan dua digit sejak awal tahun.

Pada September sahaja, keuntungan perindustrian firma berkenaan naik 14.4 peratus tahun ke tahun, pada kadar pertumbuhan 10.2 peratus lebih tinggi daripada Ogos.

Ahli statistik NBS Yu Weining mengaitkan prestasi cemerlang ini dengan sokongan dasar makroekonomi yang lebih intensif, pengeluaran perindustrian yang stabil, serta perkembangan pesat daya produktif kualiti baharu.

Industri elektronik muncul sebagai faktor utama pendorong pertumbuhan, dengan keuntungan sekali ganda lebih tinggi daripada setahun sebelum, menyumbang 9.6 mata peratusan kepada keseluruhan peningkatan keuntungan perindustrian.

Dipacu oleh permintaan terhadap kuasa pengkomputeran AI dan teknologi ingatan canggih, keuntungan daripada pembuatan bahan khusus elektronik melonjak 220 peratus manakala pembuatan peranti diskret semikonduktor meningkat 51.7 peratus.

Pada masa yang sama, keuntungan pembuatan canggih mencatat pertambahan 52 peratus tahun ke tahun, mendahului purata seluruh industri sebanyak 36.5 mata peratusan.

Dalam tiga suku tahun pertama, pembuatan canggih menempati 25.5 peratus daripada keseluruhan keuntungan yang dijana oleh firma perindustrian utama China, naik 6.2 mata peratusan berbanding setahun sebelum.

Sejajar dengan kemajuan pesat yang menggerakkan pembuatan canggih dan daya produktif kualiti baharu, sektor perindustrian China sedang beralih dengan lancar kepada struktur yang lebih maju dan dipacu inovasi, tambah Yu lagi.

Data terbaharu ini diumumkan ketika Pelan Lima Tahun ke-15 (2026-2030) China memperincikan pembangunan sebuah sistem perindustrian moden yang berpaksikan pembuatan canggih. Merujuk kepada cetak biru pembangunan, negara ini akan berusaha menaikkan taraf sektor-sektor tradisional dalam rantaian nilai kepada sederhana hingga tinggi, di samping memupuk industri baharu dan merangka pelan strategik masa hadapan untuk industri akan datang.

Sama ada keuntungan perindustrian dapat menyangga pertumbuhan rancak ataupun tidak, amat bergantung pada bagaimana efektifnya momentum sektor pembuatan canggih merangsang rantaian bekalan perindustrian yang lebih luas. Satu lagi faktor yang dipertimbangkan oleh penganalisis ialah mampukah permintaan domestik yang lebih kuat menyokong lagi pemulihan keberuntungan industri-industri tengahan dan hiliran.

Video

Berita Berkaitan