China, Brunei Mahu Lonjakkan Perkongsian Strategik

(CRI)Isnin 21 November 2022

Presiden China, Xi Jinping menyatakan bahawa China dan Brunei ialah jiran di seberang laut, sahabat yang boleh dipercayai, dan rakan yang membangun bersama. Kedua-dua negara ini telah memberi teladan baik bagi negara-negara besar dan kecil hidup secara harmoni dan saling menguntungkan.

Tahun depan ialah ulang tahun kelima penjalinan perkongsian strategik China-Brunei. Kedua-dua negara harus mengambil peluang itu, berusaha bersama untuk melonjakkan hubungan tersebut ke tahap lebih tinggi demi manfaat rakyat kedua-dua negara.

Beliau berkata demikian ketika bertemu dengan Sultan Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah di Bangkok, Thailand pada Jumaat.

Xi menyatakan, kedua-dua pihak harus mengekalkan komunikasi dan pertukaran, memanfaatkan mekanisme Suruhanjaya Panduan Bersama untuk menyelaraskan dan memperkasakan kerjasama pragmatik dalam pelbagai bidang.

Kedua-dua negara patut mengukuhkan sinergi dalam strategi pembangunan negara masing-masing, di samping mempergiat pelaksanaan projek-projek penting dalam rangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Beliau menyatakan, China dan Brunei patut meningkatkan kerjasama dalam prasarana, pertanian, perikanan, tenaga dan lain-lain, membina pemacu dalam kerjasama pembangunan hijau dan ekonomi digital, serta mengadakan pertukaran lawatan dalam kalangan rakyat secara teratur.

Presiden Xi menambah bahawa China bersedia mengintensifkan komunikasi dan penyelarasan dengan Brunei dalam rangka ASEAN dan APEC. Sementara itu, China bersedia bersama-sama dengan Brunei dan negara-negara ASEAN yang lain untuk mendorong rundingan Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) agar membina Laut China Selatan sebagai laut damai, muhibah dan kerjasama.

Sultan Hassanal Bolkiah menyatakan, China berjaya merealisasikan matlamat seratus tahun pertama di bawah pimpinan Presiden Xi. Beliau yakin China dapat terus menuju ke kemakmuran dan pembangunan, dan merealisasikan matlamat strategik yang ditetapkan.

Beliau menegaskan bahawa Brunei dengan tegas mengamalkan dasar satu China, dan bersedia untuk melonjakkan hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi.

Gaya Hidup

Berita Berkaitan