Rumput Kecil Ikat Hubungan Mesra Sepanjang Jejak BRI

Musim panas, di Universiti Pertanian dan Perhutanan Fujian, terdapat serumpun ganoderma yang tumbuh subur pada sejenis rumput yang disebut sebagai Juncao. Secara harfiahnya, nama ini bermaksud rumput cendawan dalam bahasa Cina.

Lin Zhanxi, penyelidik universiti dan juga ketua saintis Pusat Penyelidikan Teknologi Rumput bersama pelajarnya David memantau keadaan tumbuhan itu dalam makmal.

Setengah abad yang lalu, atas tujuan membasmi kemiskinan di kalangan petani dan memulihara ekologi, profesor Lin membangunkan teknologi menanam cendawan dengan menggunakan rumput untuk menggantikan batang kayu.

Selepas sekian lama, teknologi ini yang cukup cekap dan berkesan telah tersebar dari provinsi ke seluruh negara bahkan dunia.

Lin Zhanxi sedang memantau keadaan cendawan. (Xinhua/Wei Peiquan)

Lin Zhanxi sedang memantau keadaan cendawan. (Xinhua/Wei Peiquan)

Pada 1980-an, di kawasan pergunungan Fujian, kebiasaannya cendawan tumbuh pada batang pokok kayu, menyebabkan hutan ditebang. Untuk menyelesaikan masalah ini, Prof. Lin menyelidik teknologi untuk menanam cendawan dengan rumput dan bukannya batang kayu. Teknologi itu segera tersebar dan dipakai di seluruh Fujian setelah berjaya dibangunkan.

Pada 1997, teknologi tersebut tersenarai sebagai projek kerjasama membasmi kemiskinan melibatkan Fujian dan wilayah Ningxia. Lin Zhanxi bersama timnya, membawa enam kotak rumput Juncao ke Xihaigu di Ningxia.

27 isi rumah petani di Xihaigu yang menanam cendawan dengan teknologi baharu itu berjaya meraih pendapatan melebihi 2,000 yuan dalam enam bulan. Rumput Juncao turut dipanggil “rumput kebahagiaan” oleh penduduk tempatan.

Pada tahun yang sama, teknologi Juncao juga dibawa ke sebarang laut, iaitu Papua New Guinea (PNG). Prof. Lin dan timnya berjaya menanam rumput Juncao di negara itu susulan penyelidikan selama dua tahun.

Pada masa ini, teknologi Juncao telah tersebar ke 8 provinsi dan 16 kawasan di PNG, membawa keuntungan kepada 8,600 isi rumah. Ia juga menjadi tonggak kedua industri tempatan menyusuli industri kopi.

Bukan PNG sahaja yang mendapat untung daripada teknologi Juncao. Di Fiji, rumput Juncao dijadikan sebagai makanan ternakan, dan banyak mengurangkan kematian lembu dan biri-biri pada musim kemarau. Di Rwanda pula, pendapatan petani tempatan (30,000 isi rumah) meningkat berganda berkat teknologi Juncao. Di Afrika Selatan, hanya dengan ladang cendawan seluas 10 meter persegi, sudah cukup untuk membebaskan satu isi rumah petani daripada kemiskinan.

Setakat ini, kursus latihan teknologi rumput Juncao telah diadakan sebanyak 328 kali di dalam dan luar negara, melibatkan 13,631 orang. Kini teknologi ini telah tersebar ke 106 negara atau wilayah, menyumbang kepada usaha membasmi kemiskinan di negara-negara yang turut serta dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Teknologi Juncao sedang menyumbang kepada 13 daripada 17 Matlamat Pembangunan Mampan yang dikemukakan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menjadi salah satu jenama China dalam usaha membantu negara lain membasmi kemiskinan.

Lin Zhanxi memberi taklimat kepada pelajar asing. (Xinhua/Lin Shanchuan)

Lin Zhanxi memberi taklimat kepada pelajar asing. (Xinhua/Lin Shanchuan)

David, berasal dari Benin, Afrika, kini seorang calon Phd di Universiti Pertanian dan Perhutanan Fujian. Dia datang ke China 11 tahun yang lalu dan pernah membantu dalam kerja penterjemahan teknologi Juncao.

Selama 11 tahun, David berkali-kali terlibat dalam kerja penyebaran teknologi tersebut.

Hingga kini, seramai 26 pelajar asing menerima ijazah sarjana dan kedoktoran di bawah bimbingan Prof. Lin dan timnya, memberi sumbangan yang positif di negara masing-masing.

“BRI memberi lebih banyak peluang kepada kami untuk menuntut di China. Masa saya baru masuk universiti, hanya ada lebih sepuluh orang pelajar asing. Sekarang dah ada lebih 100 orang,” ujar David.

Menurut David, pelaksanaan BRI telah meningkatkan persefahaman dan persahabatan antara China dan Benin. Pertukaran antara rakyat juga membawa peningkatan kepada sektor pelancongan, pendidikan, kesenian, perubatan dan sebagainya.

Tahun ini ulang tahun kesepuluh BRI. Lin Zhanxi yang kini sudah berusia 80 tahun tidak mahu memberhentikan langkahnya. Kata beliau, dengan usaha segala pihak, teknologi Juncao bukan sahaja dapat menguntungkan negara membangun dan yang turut serta dalam BRI, bahkan dapat juga menyumbang kepada agenda 2030 PBB bagi pembangunan mampan.

Video

Berita Berkaitan