China Perkenal Peraturan Perdagangan Karbon Baharu

(foto/IC)

(foto/IC)

Peraturan perdagangan karbon baharu dijangka mampu membantu menyelesaikan permasalahan yang timbul, selain memastikan pasaran perdagangan karbon negara dapat berperanan penting dalam membantu China merealisasikan sasaran tinggi terhadap iklim.

Demikian ujar pakar ketika mengulas mengenai peraturan baharu yang diperkenal oleh Majlis Negara China untuk menguruskan pasaran perdagangan karbon negara yang terbesar di dunia itu.

Menurut mereka, berbanding dengan peraturan sebelumnya, peraturan baharu itu turut akan mengenakan penalti yang lebih ketat untuk membantu menghalang syarikat daripada memanipulasi pelepasan karbon masing-masing.

Dirumus berdasarkan pengalaman perintis dan piawaian asing, satu ketetapan turut ditambah bagi memperkenal mekanisme untuk mengenakan bayaran secara beransur-ansur.

Difahamkan, ia adalah bagi memastikan syarikat yang memerlukan elaun pelepasan dapat membayarnya, sekali gus membantu meningkatkan lagi kesedaran perusahaan terhadap pembangunan rendah karbon.

Untuk rekod, China memulakan program perintis perdagangan karbon pada Oktober 2011 di tujuh bahagian negara, termasuk wilayah Hubei, Beijing dan Shanghai, dengan program perintis di Beijing mula berdagang pada 2013.

Pasaran perdagangan karbon China, yang pada masa ini hanya melibatkan sektor penjanaan kuasa arang batu, mula berdagang pada Julai 2021, dengan melibatkan sebanyak 2,257 perusahaan penjanaan kuasa.

Secara keseluruhan, syarikat-syarikat tersebut menyumbang kira-kira 5.1 bilion tan metrik pelepasan karbon dioksida, iaitu mewakili kira-kira 40 peratus daripada semua pelepasan di negara ini.

Program peringkat kebangsaan turut mengenakan had pelepasan karbon untuk setiap unit elektrik yang dijana oleh loji tenaga. Selepas setiap kitaran perdagangan, pengendali boleh menjual sebarang elaun karbon yang mereka tinggalkan selepas mematuhi penanda aras pelepasan, dan sekiranya melebihi had, mereka perlu membeli elaun.

Pada masa ini, syarikat mendapat elaun secara percuma. Tetapi mekanisme itu boleh memberi ganjaran kepada syarikat yang mengurangkan jumah pelepasan mereka dengan membenarkan mereka menjual elaun masing-masing, serta menjadikan supaya mereka yang tidak perlu membelinya.

Menjelang akhir tahun lepas, pasaran karbon negara telah menyaksikan lebih 440 juta tan elaun pelepasan karbon bertukar tangan untuk hampir RMB24.9 bilion ($3.5 bilion).

Syarikat yang melebihi penanda aras pelepasan diberi tempoh pematuhan selama setahun untuk mengurangkan pelepasan masing-masing.

Dalam tempoh pematuhan pertama dari tahun 2019 hingga 2020, jumlah dagangan melonjak sebanyak 19 peratus, manakala wang yang diperoleh daripada penjualan elaun pelepasan meningkat sebanyak 89 peratus dalam separuh kedua dari tahun 2021 hingga 2022.

Ketika ini, harga elaun pelepasan telah meningkat kepada RMB80 per tan, berbanding 48 yuan per tan ketika pasaran mula dilancarkan.

Video

Berita Berkaitan