Hainan Edarkan Buku Panduan untuk Ekspatriat

Provinsi Hainan di selatan China baru-baru ini mengeluarkan buku panduan khusus untuk ekspatriat yang memperincikan maklumat berguna dan arahan secara langkah demi langkah untuk pelbagai perkhidmatan di provinsi itu.

Untuk rekod, ia dilancarkan menjelang Persidangan Tahunan Forum Boao untuk Asia (BFA) 2024, yang melabuhkan tirainya hari ini setelah berlangsung selama empat hari di Boao, Hainan.

Dihasilkan oleh Pejabat Hal Ehwal Luar Provinsi Hainan, “Panduan Hainan untuk Ekspatriat” merupakan cetakan bergambar yang memberikan maklumat secara praktikal terhadap pelbagai aspek kehidupan di Hainan.

Daripada perjalanan, sehingga ke tempat tinggal, bekerja, belajar dan menjalankan perniagaan, panduan-panduan tersebut direka untuk menawarkan maklumat yang jelas dan padat dalam bahasa Inggeris mudah, sekali gus membolehkan ia diakses oleh ekspatriat daripada pelbagai latar belakang dan budaya.

Buku tersebut disusun dalam empat bahagian, dengan setiap satunya memenuhi keperluan dan minat ekspatriat yang ingin atau sudah menetap di Hainan.

Salah satu contohnya adalah bahagian "Menginap di Hainan", yang merangkumi segala-galanya; termasuk daripada perkara yang perlu dilakukan selepas tiba di Hainan, sehingga ke aplikasi berguna, mod pembayaran, berhubung, perumahan, pendidikan dan rawatan perubatan.

Selain itu, ia menawarkan cerapan tentang iklim tempatan, perkhidmatan kecemasan, serta maklumat cuti umum dan perayaan tradisional.

Satu lagi bahagian, iaitu "Perkhidmatan Tempatan" pula membantu ekspatriat untuk mencari berita tempatan, mengetahui tentang dasar dan peraturan terkini Hainan serta mengakses maklumat perhubungan yang berguna. Ia juga menyediakan maklumat untuk individu yang sedang mempertimbang untuk memulakan perniagaan di Hainan dan menggariskan dasar yang berkaitan dengan warga asing.

Dilengkapi dengan kod QR, buku panduan dengan 35 artikel itu secara tidak langsung menambah elemen interaktif secara mendalam kepada ekspatriat seperti senarai kedai bebas cukai di Hainan dan cara memohon lesen memandu Cina. Panduan ini juga menampilkan lebih daripada 40 aplikasi dan vendor, sekali gus memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan.

Kini, salinan cetak panduan sedang diedarkan di pelbagai lokasi utama di seluruh Hainan, termasuk pusat perkhidmatan pentadbiran pintu keluar masuk, lapangan terbang, terminal feri dan hotel, selain turut diedarkan kepada para tetamu BFA 2024.

Versi elektronik panduan boleh diakses merentasi beberapa platform, termasuk akaun WeChat awam Pejabat Hal Ehwal Luar Hainan.

Pelancaran Panduan Hainan untuk Ekspatriat adalah langkah penting dalam meningkatkan standard perkhidmatan antarabangsa Hainan. Ia berfungsi sebagai "ensiklopedia" terperinci untuk warga asing yang melawat atau menetap di Hainan, serta mempamerkan keterbukaan dan daya tarikan provinsi pulau itu.

Pada Jun 2020, China melancarkan pelan induk untuk membina Hainan menjadi pelabuhan perdagangan bebas peringkat tinggi yang berpengaruh secara global menjelang pertengahan abad ini.

Inisiatif tersebut disokong oleh pelbagai dasar menarik, termasuk lanjutan kemasukan bebas visa baru-baru ini untuk warganegara dari 59 negara yang layak ke Hainan, yang dikhususkan untuk menyelaraskan proses perjalanan untuk pelawat asing, memupuk persekitaran yang kondusif untuk menarik ekspatriat untuk melancong, tinggal, bekerja dan belajar di provinsi itu.

(Imbas kod QR untuk mendapatkan Panduan Hainan untuk Ekspatriat)

(Imbas kod QR untuk mendapatkan Panduan Hainan untuk Ekspatriat)

Video

Berita Berkaitan