Cubaan Gembar-gembur "Buruh Paksa", Berat Sebelah Dwistandard

(CRI)Jumaat 06 Disember 2024

Tiada "buruh paksa" di wilayah Xinjiang China. Kerajaan China teguh menentang buruh paksa dan telah mengambil langkah tegas terhadapnya. Cubaan yang menggembar-gemburkan fitnah "buruh paksa" di Xinjiang adalah berat sebelah dwistandard yang tipikal.

Demikian ditegaskan jurucakap Kementerian Luar China Lin Jian pada sidang media di Beijing pada Khamis.

BBC menyiarkan apa yang disebut sebagai laporan penyiasatan pada 3 Dis, mendakwa beberapa jenis puri tomato yang dijual di pasar raya Britain mungkin mengandungi bahan mentah tomato dari wilayah Xinjiang China, sambil menyifatkan produk berkenaan sebagai hasil daripada "buruh paksa".

BBC juga menyeru negara-negara Barat supaya berhenti menggunakan bahan mentah tomato atau produknya dari Xinjiang.

Menyentuh laporan itu, Lin berkata, tomato Xinjiang, seperti kapas Xinjiang, semuanya adalah terkenal dan dinikmati oleh pengguna di seluruh dunia kerana kualitinya yang tinggi.

Beliau berkata, proses dari penanaman hingga penuaian hasil tanaman berkenaan telah dijenterakan. Lebih 90 peratus tomato dan lebih 85 peratus kapas kini dituai dengan menggunakan jentera di Xinjiang. Manakan wujud "buruh paksa"?

Lin berharap agar pihak-pihak terbabit dapat menyedari niat jahat di sebalik pembohongan "buruh paksa", di samping mengalu-alukan orang ramai berkunjung ke Xinjiang untuk merasai buah tomato, menghayati kehidupan penduduk di sana, supaya melihat keadaan sebenar di Xinjiang dengan mata sendiri.

Video

Berita Berkaitan