Industri Tani Hutan Jiangxi Tambah Maju

Industri Tani Hutan Jiangxi Tambah Maju
Foto menunjukkan cendawan telinga kera yang ditanam di Ladang Hutan Xujiang, kaunti Guangchang, bandar Fuzhou, provinsi Jiangxi, timur China. (People's Daily Online/Shi Yu)

Deretan kayu yang digunakan untuk menanam cendawan bergantungan dari batang pokok di Ladang Hutan Xujiang, kaunti Guangchang, provinsi Jiangxi, timur China. Di sini, ekonomi bawah hutan yang tumbuh subur sedang berakar umbi.

Xie Yuancai, ketua syarikat Fuzhou Licai Edible Fungi Co., Ltd., membawa pelawat mengikut denai berlecak untuk menunjukkan jenis-jenis baru cendawan kera yang ditanam di lokasi itu.

“Ini jenis cendawan baru yang kami bangunkan,” kata Xie dengan bangga.

Terletak di lereng barat Gunung Wuyi, Guangchang mempunyai 1.84 juta mu (1,227 kilometer persegi) tanah hutan, dengan kadar liputan hutan hampir 72 peratus, yang menyediakan ruang yang mencukupi buat industri-industri “bawah hutan” – iaitu syarikat yang mengusahakan penanaman cendawan, herba dan tumbuhan-tumbuhan lain di bawah kanopi hutan.

Untuk menjadikan kekayaan semula jadi ini sesuatu yang bernilai dari segi ekonomi, kaunti itu telah membuka beberapa tapak demonstrasi yang memanfaatkan sumber ladang hutan menerusi model yang mengintegrasikan syarikat, ladang, tapak demonstrasi dan petani.

“Kami menguruskan kawasan seluas 4,200 mu untuk pertanian lantai hutan di sini,” jelas Xie.

Tapak-tapak berkenaan telah mencipta peluang pekerjaan untuk lebih daripada 2,000 petani tempatan, menaikkan pendapatan tahunan purata mereka sebanyak lebih 6,000 yuan bagi setiap isi rumah.

Petani tempatan, You Quanzhong, melaburkan seluruh 135 mu tanah gunungnya dalam sebuah program yang membolehkan petani menjadi pemegang taruh dan menerima dividen. Menurut perjanjian, apabila pokok holi spesies Ilex asprella yang ditanam di tanahnya mula mengaut untung, dia akan menerima dividen tahunan sebanyak 23 peratus selama 15 tahun.

Adalah menjadi sasaran Jiangxi untuk memajukan ekonomi berteraskan hutannya kepada 300 bilion yuan menjelang 2027. Usaha mereka memfokuskan pembangunan sebuah sektor perhutanan moden berpusatkan tumbuhan Camellia minyak teh, buluh moso dan tanaman-tanaman di bawah kanopi hutan.

Sektor perhutanan provinsi itu kini bertambah maju, dengan adanya 53 syarikat yang terkemuka di peringkat negara dan 371 di peringkat provinsi. Seluruh output perhutanan Jiangxi telah melebihi 680 bilion yuan.

Video

Berita Berkaitan