China, AS Fokus Selesai Persengketaan Dagangan Melalui Dialog dan Kerjasama

(CRI)Khamis 12 Jun 2025

China dan Amerika Syarikat (AS) harus menyelesaikan persengketaan perdagangan menerusi dialog secara sama rata dan kerjasama yang saling menguntungkan, kata Naib Perdana Menteri China He Lifeng.

Beliau membuat kenyataan itu semasa mesyuarat pertama mengenai mekanisme perundingan ekonomi dan perdagangan China-AS yang berlangsung di London dari 9 hingga 10 Jun membabitkan perwakilan AS antaranya Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick dan Wakil Perdagangan Jamieson Greer.

Sepanjang mesyuarat itu, kedua-dua pihak mengadakan perbincangan mendalam dan bertukar-tukar pandangan secara menyeluruh mengenai isu ekonomi dan perdagangan yang menjadi perhatian bersama.

China dan AS secara prinsip bersetuju melaksanakan konsensus penting yang dicapai pemimpin kedua-dua negara semasa perbualan telefon pada 5 Jun serta rangka tindakan untuk memantapkan hasil perbincangan di Geneva, sekali gus mencapai kemajuan baharu dalam menangani kebimbangan masing-masing membabitkan ekonomi dan dagangan.

Tiada pemenang dalam perang perdagangan, kata He sambil menambah bahawa China enggan mencetuskan konflik tapi tidak gentar berdepan sebarang konflik.

Beliau turut menyeru dua negara supaya mengoptimumkan lagi mekanisme perundingan serta berusaha untuk memperkukuh kesepakatan, mengurangkan salah faham dan memperkasakan kerjasama.

Video

Berita Berkaitan