- Lain-lain
China Lancarkan Model AI Besar Pertama Untuk Kegunaan Kampus (4)
![]() |
Liu Gang, setiausaha agung Persatuan Usahawan Muda China berucap semasa pelancaran acara ‘Tianli Qiming AI Learning Companion’ di Beijing pada 30 Jun 2025. (People’s Daily Online/Guo Ying) |
Model besar ‘Tianli Qiming AI Learning Companion’ telah dilancarkan di Beijing pada 30 Jun 2025. Wakil-wakil daripada sektor perniagaan, pendidikan, sains dan teknologi telah berhimpun untuk menyaksikan kemunculan sulung bagi pencapaian terkini dalam transformasi digital pendidikan.
Difahamkan, ‘Tianli Qiming AI Learning Companion’ merupakan model AI besar pertama di China yang didaftarkan secara rasmi, selain digunakan secara meluas dalam bilik darjah. Ia memudahkan penyepaduan kecerdasan data sekolah dan menyokong pembelajaran diperibadikan buat pelajar menerusi alat seperti aplikasi Qiming Cloud School, AI Study Room, dan Smart Companion.
Menurut Luo Shi, pengerusi merangkap presiden Tianli International Holdings yang merupakan organisasi di sebalik model tersebut, kunci kepada transformasi pendidikan terletak pada gabungan sumber berskala besar dengan pertumbuhan yang diperibadikan.
“Model besar membolehkan pelajar untuk mentakrifkan semula laluan pembelajaran dan menjadikan sumber pembelajaran berkualiti tinggi semakin mudah untuk diakses, seterusnya mengubah pendidikan yang diperibadikan kepada realiti,” ujar Luo.
Pada acara itu juga, pakar-pakar dan sarjana turut berkongsi buah fikiran bagi mempercepat transfomasi pendidikan menerusi AI.
Zhang Shaogang, pengarah Persatuan Teknologi Pendidikan China berkata bahawa model besar yang dibangunkan menerusi pengalaman amali 250,000 pelajar dan guru di lebih 100 sekolah tersebut telah mengatasi cabaran-cabaran yang ada sejak sekian lama.
Sementara itu, Liu Gang, setiausaha agung Persatuan Usahawan Muda China berkata bahawa model besar telah membolehkan pengajaran yang tepat, sambil mengekalkan interaksi emosi antara guru dan pelajar.
Dekan Institut Pendidikan Universiti Tsinghua merangkap naib pengerusi Persatuan Pendidikan China, Shi Zhongying berkata AI memainkan peranan yang semakin penting dalam mendorong inovasi bersistem dalam pendidikan.
Katanya, pengeluaran model besar ‘Tianli Qiming AI Learning Companion’ secara berskala besar akan menjana jumlah yang besar dalam data pembelajaran dan pengajaran yang bernilai.
Luo Yongqiang, pengurus besar Syarikat Sichuan Qiming Daren Technology, iaitu anak syarikat Tianli International Group menyatakan bahawa model tersebut telah dilaksanakan di 107 buah sekolah di serata China.
Semasa acara tersebut, sekolah seperti Sekolah BDA Sekolah Menengah Gabungan Universiti Renmin China, Sekolah Pertengahan Yuyuantan Beijing, dan Sekolah Antarabangsa Zhongshan Beijing telah menandatangani persetujuan kerjasama strategik dengan Syarikat Qiming Daren Technology.
- China Seru Kerjasama Pendidikan Digital Antarabangsa
- Perpustakaan Lebih Pintar Tawar Pengetahuan Lebih Luas
- Persidangan Pendidikan Digital Dunia 2024 Buka Tirai di Shanghai
- Forum Presiden Universiti 2023 Diadakan dengan Jaya di Shenyang
- Pendidikan Semakin Digital di China
- Infrastruktur Pendidikan Pintar di China Baik: Buku Biru