China Beri Amaran kepada Filipina, Jangan Cuba “Bermain Api” dalam Isu Taiwan

(CRI)Jumaat 08 Ogos 2025

Hanya terdapat satu negara China sahaja di dunia ini, dan Taiwan ialah salah satu wilayah China yang tidak boleh dipisahkan, justeru isu Taiwan adalah urusan dalaman China dan merupakan teras kepentingan utama China.

Penyelesaian masalah Taiwan sewajarnya ditangani China dengan sendiri dan tidak boleh dipertikaikan oleh pihak luar.

Demikian menurut jurucakap Kementerian Luar China ketika mengulas berhubung ucapan pemimpin Filipina mengenai Taiwan ketika beliau melawat India hari ini.

Katanya, kerajaan Filipina pernah berjanji secara serius untuk “mengekalkan dasar Satu China, mengiktiraf Taiwan sebagai wilayah China yang tidak boleh dipisahkan, dan memahami usaha kerajaan China untuk mewujudkan penyatuan semula negara”.

Mengulas lanjut beliau berkata, pemimpin Filipina juga pernah menyatakan dengan jelas bahawa “Filipina memegang teguh dasar Satu China, isu Taiwan adalah hal ehwal dalaman China, yang sewajarnya ditangani orang China sendiri’.

Namun kini, apa yang berlaku, pihak Filipina terus menerus mengambil tindakan dan mengeluarkan kenyataan yang salah serta bersifat provokasi, mensia-siakan prinsip Satu China dan menjejaskan hubungan dua hala.

Kementerian Luar China dan Kedutaan China ke Filipina sudah mengeluarkan bantahan serius kepada negara itu.

Perlu ditekankan bahawa 'kedudukan geografi' yang dekat dan 'wujudnya ramai pemastautin' tidak boleh dijadikan alasan oleh mana-mana negara untuk campur tangan dalam urusan dalaman atau mencabul kedaulatan negara lain.

China menggesa Filipina mematuhi prinsip Satu China dan semangat hubungan diplomatik China-Filipina serta jangan bermain api dalam isu Taiwan.

Menurut laporan, pemimpin Filipina ketika ditemu ramah sewaktu dalam rangka lawatan ke India berkata, adalah mustahil untuk Filipina berdiri di tepi sekiranya berlaku perbalahan antara China dengan AS mengenai isu Taiwan, dan hal ini adalah disebabkan oleh faktor geografi negaranya.

Selain itu, katanya terdapat ramai pemastautin Filipina di Taiwan, dan ini secara tidak langsung menjadi isu kemanusiaan, justeru Filipina tidak mempunyai pilihan selain campur tangan.

Video

Berita Berkaitan