- Lain-lain
Industri Kopi China Alu-ali Kedatangan ‘Ahli Alkmia Perisa’ Baharu
Nota: Artikel terbitan agensi berita Xinhua ini diterjemah dan diolah People’s Daily Online
Seorang pembantu kedai sedang memanggang biji kopi di sebuah kedai kopi di Guiyang, Provinsi Guizhou, barat daya China, pada 9 Jun 2025. (Foto/Xinhua)
Zhang Shaoxiong, seorang juruteknik yang sedang berpanas dalam sut pelindungnya di Syarikat Yunnan Comeng Industry (Comeng Coffee) di Baoshan, Provinsi Yunnan, barat daya China, sibuk melaksanakan ratusan percubaan yang penuh teliti, iaitu untuk menggabungkan dan melaraskan lengkung panggangan biji kopi tempatan.
‘The Age of Awakening’, iaitu hasil biji kopi terkininya, mempunyai elemen lapisan yang kaya, lembut namun sangat mendalam yang bergema secara emosi dan lebih daripada sekadar keluaran jenama bersama oleh Persatuan Kopi Baoshan dan Dewan Memorial Kongres Kebangsaan Pertama Parti Komunis China di Shanghai tahun lepas.
Gabungan kopi tersebut juga adalah simbol kepada ketepatan yang diperlukan ketika ini oleh budaya kopi China yang kian meningkat. Rentetan itu, pada Julai lalu, satu lagi kerjaya baharu telah dirasmikan, iaitu juruteknik pemprosesan kopi yang diiktiraf negara.
Di sebuah negara yang begitu sinonim dengan teh, satu generasi baharu artisan teknikal kini menggunakan kimia untuk mengubah biji kopi menjadi sonata cecair, sekali gus memperkuat sebuah industri yang giat menuju ke arah penilaian RMB1 trilion (sekitar AS$140 bilion).
Kerjaya yang baru diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia dan Jaminan Sosial itu secara rasminya mencerminkan ketegasan saintifik, iaitu mengubah ceri kopi kepada biji kopi yang telah dipanggang, produk siap atau terbitan dengan mengendalikan peralatan pemprosesan kopi.
Penginstitusian kerjaya tersebut juga menunjukkan tentang kematangan pasaran kopi China dan memberi petanda terhadap jangkaan peralihan sektor itu ke arah pembangunan berorientasikan ketepatan dan khusus.
Bagaimanapun, bagi Zhang, apa yang dilihat oleh orang ramai seperti memanggang atau mengisar disifatkan sebagai hanya sebahagian kecil daripada kopi.
“Juruteknik pemprosesan kopi sebenarnya adalah sama dengan pakar perisa yang pelbagai kemahiran,” katanya, sambil memberitahu bahawa seni kopi memerlukan seseorang juruteknik mempunyai pengetahuan mendalam terhadap asal usul biji kopi, kemahiran penilaian penderia yang tajam, dan kemampuan untuk berdepan daripada tindak balas kimia oleh beberapa perisa.
Kemuncak kepada seni pemprosesan kopi bagi juruteknik adalah terletak pada pengadunan ketepatan, mengharmonikan pelbagai jenis biji kopi untuk mencipta profil yang menyeimbangkan kecemerlangan teknikal dan resonans emosi.
Dorongan pengkhususan tersebut adalah satu keperluan ekonomi. Menurut satu laporan yang dikeluarkan pada Pesta Kebudayaan Kopi Antarabangsa Shanghai 2025 pada April lalu, penggunaan kopi di China direkodkan berlaku pantas, dengan kekerapan penggunaan per kapita daripada 5.6 kali setahun pada 2023, kepada 7 kali pada 2024, dengan penggunaan per kapita tahunan meningkat kepada 22.24 cawan, didorong oleh jenama domestik dan cita rasa yang pelbagai.
Memetik data oleh firma penyelidikan pasaran oleh iiMedia Research, pasaran kopi telah melonjak naik kepada RMB789.3 bilion pada 2024 dan dijangka melangkaui RMB1 trilion pada 2025. Manakala, statistik platform maklumat perniagaan Tianyancha mendedahkan bahawa terdapat lebih daripada 248,000 perusahaan berkaitan kopi beroperasi di serata China, dengan pendaftaran baharu meningkat 16.8 peratus dari tahun ke tahun pada separuh pertama 2025.
Pakar mendapati bahawa seiring dengan penggunaan kopi meningkat dengan stabil, pengikhtisasan industri itu juga semakin dipercepat, dan ia dibuktikan dengan peranan pengkhususan baharu yang kebiasaannya meningkat pada fasa pembangunan tersebut.
Zhuang Shuai, pakar e-dagang runcit dan perunding tetamu Persatuan Francais dan Kedai Rangkaian China berpendapat bahawa sektor kopi China sedang meledak dengan rekod dari segi pelaburan dan pendaftaran perusahaan.
Beliau berkata, industri kopi kini menghadapi kesenjangan bakat di serata rantai nilai daripada pertanian kepada produk siap, dengan terdapatnya permintaan yang semakin meninggi terhadap individu profesional yang berkemahiran.
Wilayah-wilayah di serata negara sedang berlumba untuk mencari penyelesaian dalam isu kekurangan tersebut.
Di nusa teras kopi Yunnan iaitu di Pu’er, satu program latihan vokasional juruteknik kopi telah diwujudkan untuk meningkatkan kemahiran pekerja. Manakala, Jiangmen dan Foshan di Provinsi Guangdong, selatan China pula sedang merintis satu sistem inovatif iaitu ‘satu ujian, pelbagai pensijilan’ untuk memperkemas pembuktian kelayakan profesional. Beralih ke jauh bahagian timur China, Kunshan di Provinsi Jiangsu sedang memanfaatkan trend ‘kafe kampung’ yang semakin tular menerusi penganjuran pertandingan barista.
Wang Lijun, pengurus besar Comeng Coffee telah menekankan terhadap kepentingan dalam membangunkan dan mengoptimumkan sistem latihan vokasional untuk golongan profesional yang berkemahiran.
“Kami memerlukan latihan yang berpiawaian meliputi sains biji kopi, pemanggangan dan penilaian deria, yang kesemuanya sealiran dengan permintaan pasaran,” ujar Wang ketika menjelaskan tentang bagaimana artisan teknikal dapat mendorong pertumbuhan industri.
- Kopi Yunnan Kini Mengukir Nama Dalam Peta Kopi Global
- Dulu "Makanan Asing", Kini Jadi "Produk Istimewa" China
- Kopi Yunnan Tarik Perhatian Global Menerusi Penaiktarafan Kualiti, Inovasi
- Kafe Bergerak Jadi Trend di Kawasan Luar Bandar China
- Dari Yunnan ke Dunia: Bagaimana Kopi China Terus ke Pentas Global
- Biji Kopi Tempatan Semakin Popular di China
- Yunnan Masuk Musim Tuai Kopi 74 Kilometer Persegi
- Kedai Kopi Kampung Dorong Pembangunan Luar Bandar di Hainan
- Permintaan Kopi Mendadak, Yunnan Buka Jurusan Sarjana Muda Sains Kopi di Universiti
- Trend Baharu Kedai Kopi, Teh, Pacu Penggunaan Katering China