Bandar Tianmen Guna Platform E-dagang, Bina Jaringan Pakaian Global (4)

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 08 September 2025
Bandar Tianmen Guna Platform E-dagang, Bina Jaringan Pakaian Global
Foto menunjukkan barisan pengeluaran sebuah syarikat bahan-bahan baharu di Tianmen, Provinsi Hubei di tengah China. (People’s Daily Online/Zhang Jun)

Di tengah-tengah kesibukan di sebuah studio yang terletak di bandar tengah China, Tianmen, Provinsi Hubei, pesanan mencurah-curah masuk ketika jurujual menayangkan pakaian kepada penonton dalam talian. Di satu tempat lain pula, mesin automatik di kilang pakaian Laiyitiao beroperasi siang dan malam untuk membungkus pakaian sebelum dihantar di sekitar China.

Perubahan tersebut mencerminkan kemunculan Tianmen sebagai hab pakaian e-dagang, dengan industri tempatan menjana lebih daripada RMB50 bilion (AS$7 bilion) dalam transaksi secara dalam talian pada tahun lalu, iaitu meningkat RMB7 bilion berbanding 2021.

“Pada tahun lalu, secara puratanya kami menerima 100,000 pesanan setiap hari dan menjana RMB1.3 bilion dalam bentuk jualan. Tahun ini, dengan fasiliti baharu yang sedang dalam pembinaan, kami menyasarkan untuk (mendapatkan) RMB2 bilion,” ujar Xiong Feixiang, pengerusi Laiyitiao.

Pada 2016, Xiong mengambil alih perniagaan milik keluarga yang terletak di Guangzhou, Provinsi Guangdong, selatan China, dan melancarkan jenama sendiri, seterusnya memulakan penjualan secara dalam talian. Jualan bertumbuh dengan pesat, namun kos logistik dan sewa yang tinggi mengehadkan untuk syarikatnya terus berkembang.

Pada 2019, dia menutup kilangnya di Guangzhou dan memindahkan gudang, logistik dan operasi pengeluarannya ke Tianmen.

Penjimatan kos akhirnya membuahkan hasil, yang membolehkan syarikatnya berkembang. Dalam tempoh beberapa tahun sahaja, Laiyitiao bertumbuh pesat. Pada April, syarikat tersebut telah memulakan pembinaan fasiliti e-dagang rentas sempadan yang meliputi pusat pembuatan pintar serta sebuah hab penyelidikan dan pembangunan.

Bagi menarik bakat, Tianmen memperkenalkan empat dasar dengan 17 langkah menyasarkan sektor pakaian dan tekstil, disokong oleh dana sebanyak RMB200 juta setiap tahun.

Tianmen mendepani isu kesesakan berikutan fabrik dan aksesori perlu dihantar dari Provinsi Zhejiang di timur China dan Guangdong, yang mengambil masa tiga hari. Bagi menyelesaikan isu ini, bandar itu membina taman tekstil fiber kimia dan menarik 15 pembekal huluan.

Menjelang penghujung 2024, bandar itu mempunyai 7,000 perniagaan pakaian dan tekstil, serta lebih daripada 13,000 kedai dalam talian.

Dengan jualan domestik yang kuat, Tianmen semakin berkembang secara global. Pada 2024, syarikat-syarikat Tianmen membuka gudang-gudang di luar negara di Bangkok dan Los Angeles. Pelanggan yang memesan pakaian buatan Tianmen dalam platform rentas sempadan kini boleh menerima bungkusan pada hari berikutnya. Gudang-gudang tersebut telah menghantar 200,000 helai pakaian kepada pembeli di lebih daripada 150 negara dan wilayah.

Video

Berita Berkaitan