Forum Kerjasama Media BRI 2025 Himpun 200 Wakil Antarabangsa di Kunming

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Selasa 16 September 2025

Forum Kerjasama Media Jalur dan Laluan (BRI) telah diadakan di Kuming, Yunnan, barat daya China pada 16 September, disertai oleh lebih 200 wakil antarabangsa dari 87 negara, pelbagai organisasi antarabangsa dan serantau, serta 165 saluran media dan institusi.

Pada forum itu, para peserta sebulat suara bersetuju bahawa BRI yang dikemukakan oleh Presiden China, Xi Jinping pada tahun 2013 telah menghasilkan pencapaian cemerlang dan berkembang menjadi manfaat awam antarabangsa, serta platform kerjasama global yang diterima secara meluas.

Baru-baru ini, dalam mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) Plus, beliau telah mengemukakan inisiatif tadbir urus global dengan menyumbangkan kebijaksanaan dan penyelesaian dari China bagi mewujudkan mekanisme tadbir urus global yang lebih adil dan rasional. Inisiatif ini juga telah membuka prospek pembangunan yang baharu dan lebih luas untuk kerjasama BRI yang berkualiti tinggi.

Antara lain yang ditekankan oleh peserta semasa Forum Kerjasama Media BRI adalah saluran media di seluruh dunia perlu memperdalam kerjasama bagi menjadi contoh dan pemangkin semangat BRI, sambil secara aktif menyebarkan wawasan tamadun yang berteraskan kesaksamaan, saling belajar, dialog dan keterangkuman.

Media juga digesa untuk berperanan sebagai pencatat sejarah dan penyampai pencapaian pembangunan, terus menyediakan liputan mendalam tentang pelaksanaan yang aktif di bawah BRI, seterusnya memberikan momentum terhadap kerjasama menang-menang.

Selain itu, media perlu bertindak sebagai peserta dan penggerak terhadap usaha saling belajar antara tamadun, menggunakan karya kewartawanan berkualiti tinggi untuk meningkatkan pemahaman, memecahkan tembok halangan, dan menyatukan usaha, sekali gus mengukuhkan asas bagi pembinaan komuniti berkongsi nasib sesama insan untuk seluruh manusia.

Forum anjuran bersama oleh People's Daily, Jawatankuasa PKC Provinsi Yunnan dan Kerajaan Rakyat Provinsi Yunnan tersebut diadakan dengan tema “Berkongsi Tanggungjawab Media, Mempromosikan Saling Belajar Antara Tamadun”.

Ia menampilkan majlis perasmian, forum utama, serta pelbagai sub-forum termasuk Dialog Kerjasama Media BRI, penyampaian Anugerah Silk Road Global News edisi kedua, dan seminar mengenai kerjasama media ASEAN serta China-Jepun-Korea (10+3).

Sejurus berakhirnya forum itu, wakil media dari China dan luar negara dijadualkan untuk mengadakan liputan bersama merentasi pelbagai bandar dan wilayah termasuk Yunnan.

Untuk rekod, Forum Kerjasama Media BRI telah berjaya dianjurkan sebanyak sembilan kali sejak ditubuhkan pada 2014. Lebih 1,000 wakil media serta organisasi antarabangsa dan serantau dari lebih 100 negara dan wilayah telah menghadiri acara tersebut, menyumbang kebijaksanaan dan usaha bagi memacu pembangunan BRI yang berkualiti tinggi.

Video

Berita Berkaitan