Untung Bersama Jadi Pegangan, Isu Ekonomi Rungkai Melalui Rundingan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 18 September 2025

Isu-isu ekonomi dan perdagangan yang menjadi perhatian bersama, fokus China dan AS dalam rundingan di Madrid, Sepanyol baru-baru ini.

Pada 14 hingga 15 September waktu tempatan, kedua-dua pihak telah bertukar-tukar pendapat secara terus terang, dengan berpandukan konsensus penting yang tercapai hasil perbualan antara presiden. Rundingan kali ini menyusuli tiga pusingan terdahulu iaitu di Geneva, London dan Stockholm, yang masing-masing dikatakan membuahkan hasil yang memberangsangkan.

Menurut laporan, persetujuan rangka kerja asas telah dicapai bagi merungkai isu TikTok menerusi pendekatan bersifat kooperatif, begitu juga untuk mengurangkan halangan pelaburan di samping merangsang kerjasama ekonomi dan perdagangan yang berkenaan. Perkembangan ini sekali lagi membuktikan bahawa sikap saling hormat serta rundingan secara sama rata kunci untuk memperkasakan konsensus dua negara melalui dialog, bahkan menggalakkan tercapainya hasil yang menang-menang menerusi tindakan.

Untung bersama adalah intipati hubungan ekonomi dan perdagangan China-AS, malahan asas bagi dialog yang sedang berjalan. Dari Geneva ke London, dari Stockholm ke Madrid, China dan AS telah memperdalam persefahaman dan menghimpunkan konsensus dengan berdialog secara sama rata, sekali gus melahirkan suasana yang menggalakkan sama-sama menang.

Kedua-dua pihak pada rundingan kali ini bersependapat bahawa hubungan ekonomi dan perdagangan yang stabil bukan sahaja amat penting bagi kedua-dua negara, tetapi juga signifikan impaknya kepada kestabilan dan kemajuan ekonomi sejagat. Konsensus ini, yang dizahirkan hasil dialog dan rundingan berkali-kali, mencerminkan pemahaman yang makin mendalam terhadap sifat menang-menang ikatan China-AS serta maknanya di peringkat global. Ia meletakkan asas bagi dialog dan rundingan lanjut, menyediakan panduan untuk menyelesaikan isu-isu dengan betul, dan menyuntik keyakinan terhadap perkembangan ekonomi dunia.

Isu TikTok yang menjadi topik penting rundingan, menampakkan perkembangan positif apabila kedua-dua pihak sepakat mencari penyelesaian melalui kerjasama. China sentiasa menentang isu-isu sains dan teknologi serta ekonomi dan perdagangan dipolitikkan, dipergunakan atau dijadikan senjata, dan tidak akan sekali-kali menerima sebarang perjanjian yang melanggar prinsipnya, kepentingan syarikatnya, mahupun keadilan dan kesaksamaan yang dijunjung masyarakat antarabangsa.

Dimaklumkan, kedua-dua pihak telah bersetuju bertindak mengikut hasrat syarikat terlibat dan juga prinsip pasaran, untuk mengambil langkah seperti menggunakan khidmat luaran operasi data pengguna dan keselamatan kandungan TikTok di AS, selain melesenkan penggunaan algoritmanya dan harta intelek lain.

Ternyata, tekanan bukanlah caranya. Sikap saling hormat dan rundingan yang sama rata barulah jalan bijak untuk merealisasikan kerjasama yang menang-menang.

Konsensus yang dicapai ini hanya menjadi mungkin kerana berlandaskan prinsip saling hormat, wujud bersama secara aman, saling menguntungkan dan sejajar kepentingan kedua-dua pihak.

Apabila melibatkan hak dan kepentingan sah negara dan syarikat, China teguh mempertahankan segala secara berprinsip – pendirian yang tidak pernah goyah, apalagi berubah. China akan meneliti dan meluluskan hal-hal berkaitan eksport teknologi dan pelesenan harta intelek TikTok mengikut undang-undang. Kerajaan China menghormati sepenuhnya hasrat peniaga, dan menyokong mereka menjalankan rundingan komersial secara sama rata berdasarkan prinsip-prinsip pasaran. Untuk itu, wajarlah AS mencipta iklim perniagaan yang terbuka, sama rata, adil dan tanpa diskriminasi untuk syarikat China termasuk TikTok meneruskan operasi di AS, sebagaimana yang dipersetujui bersama.

Tindakan AS yang terus-menerus mengenakan sekatan ekonomi dan perdagangan secara unilateral terhadap China biarpun berlangsungnya beberapa banyak rundingan dua hala, perbuatan membuli yang juga mencabuli undang-undang antarabangsa serta norma asas tadbir urus hubungan antarabangsa. Ini bukanlah caranya untuk dua kuasa besar berinteraksi.

Cara terbaik untuk merungkai pertikaian ialah dengan berdialog secara sama rata dan mencari kerjasama yang saling menguntungkan. China dan AS perlu terus melaksanakan konsensus yang dicapai antara dua presiden serta pelbagai hasil rundingan sebelum ini. Mekanisme rundingan perdagangan dua hala hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya, percanggahan pendapat ditangani, kerjasama diperkasakan, manakala perkembangan hubungan dagang yang sihat dan mampan digalakkan, ke arah ekonomi dunia yang lebih stabil.

Video

Berita Berkaitan