- Lain-lain
Taman Eko Tenaga Nanshan di Shenzhen Gabung Tenaga Hijau, Pendidikan Alam Sekitar dan Panorama Bandar
![]() |
Karya seni yang diperbuat daripada bahan terpakai dalam pameran seni di Taman Eko Tenaga Nanshan di Shenzhen, selatan China. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
Pada 18 September, wartawan People’s Daily Online melawat Taman Eko Tenaga Nanshan (Fasa II) Shenzhen Energy. Taman ini menggabungkan kemudahan penjanaan tenaga daripada pembakaran sisa, pameran pendidikan sains dan ruang awam, mewujudkan simbiosis yang harmoni antara rawatan sisa, pemulihan tenaga dan perkhidmatan komuniti.
Sejak mula beroperasi pada 2019, taman ini memproses sekitar 2,300 tan sisa domestik setiap hari dan menjana kira-kira 1.4 juta kWj elektrik. Ia merupakan salah satu kemudahan pelupusan sisa yang penting di bahagian barat Shenzhen.
Terletak di antara Bukit Xiaonanshan dan Perairan Lingdingyang yang berhampiran kawasan perumahan, taman ini dibina untuk menangani masalah “kepungan sampah” serta mendorong kitar semula sumber.
Sebagai projek demonstrasi bersepadu, taman ini menukar loji pembakaran sisa tradisional menjadi “ruang tamu ekologi” yang mesra komuniti. Antara usaha yang dilakukan adalah membuka dewan pameran kepada orang ramai dan menyediakan pelbagai kemudahan awam, sekali gus menyeimbangkan manfaat ekonomi, alam sekitar dan sosial.
Taman ini menggunakan teknologi penunuan terkini untuk memproses sisa dengan selamat sambil mengekstrak tenaga. Piawaian pelepasan asapnya adalah lebih ketat berbanding yang ditetapkan oleh kebangsaan dan Kesatuan Eropah.
Sisa sampingan seperti abu dasar dan logam turut dikitar semula, membentuk sistem kitaran sumber yang lengkap. Reka bentuk bangunan utama, yang diilhamkan daripada ombak laut dan dilengkapi cerobong bergaya, berpadu harmoni dengan alam sekitar serta menjadikannya mercu tanda industri yang ikonik.
Di dalam taman, terdapat Dewan Pengalaman Sains dan Pameran Seni Kitar Semula. Pengunjung boleh memerhati keseluruhan proses pembakaran sisa kepada tenaga melalui dinding kaca, serta menyertai permainan interaktif untuk mempelajari pengasingan sisa dan ilmu alam sekitar. Pameran seni pula menampilkan arca dan kraftangan daripada bahan terpakai yang menonjolkan nilai kreatif kitar semula sumber.
Di tingkat paling atas, “Sky Bar” setinggi 72 meter menawarkan pemandangan panoramik 360 darjah yang merangkumi daerah Nanshan, Teluk Shenzhen dan Bukit Xiaonanshan. Ruang ini menjadi tempat bersantai dan menikmati pemandangan sambil merasai sendiri keharmonian antara kemudahan industri dan kehidupan bandar.
Difahamkan, pada masa hadapan, taman ini merancang untuk menggunakan haba lebihan daripada insinerasi bagi membina kolam renang air panas, sekali lagi memberi nilai tambah kepada komuniti.
Melalui peralihan tenaga, pendidikan sains dan penciptaan ruang awam, Taman Eko Tenaga Nanshan membuka laluan inovatif ke arah pembangunan bandar yang hijau dan mampan.
![]() |
Karya seni yang diperbuat daripada bahan terpakai dalam pameran seni di Taman Eko Tenaga Nanshan di Shenzhen, selatan China. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
![]() |
Kemudahan penjanaan tenaga elektrik di Taman Eko Tenaga Nanshan di Shenzhen, selatan China. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
![]() |
Wartawan People’s Daily Online mendekati kemudahan penjanaan tenaga elektrik di Taman Eko Tenaga Nanshan, di Shenzhen, selatan China. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
![]() |
Monitor pelepasan asap pembakaran sisa. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
![]() |
Kopi bertema mesra alam yang dijual di kedai kopi di Taman Eko Tenaga Nanshan, di Shenzhen, selatan China. (People’s Daily Online/Zhou Jinjia) |
- Hab Keusahawanan dan Inovasi Belia Shenzhen Dorong Pembangunan Berkualiti Tinggi
- Dewan Utara Perpustakaan Shenzhen Tawar ‘Kilang’ Pengisihan Buku Pintar
- Shenzhen Bakal Buka Lembaran Baharu Dalam Pembukaan, Inovasi
- Pelancong Asing Bawa Bagasi Kosong, Sakan Membeli-belah di Shenzhen
- Terokai Perpustakaan dengan “Lif Angkasa” di Shenzhen
- Tonggak Batu Jadi Pengecas Telefon Bimbit di Shenzhen
- Forum Bandar Sains Guangming Buka Tirai
- Dinamika Qianhai Disuntik Oleh Tenaga Muda
- SMART: Pelopori Masa Depan Bioperubatan dari Shenzhen
- Shuibei: Pusat Dagang Barang Kemas Antarabangsa