TPM Malaysia Tamat Lawatan Rasmi ke China, Puji Penganjuran CAEXPO ke-22

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 24 September 2025

Oleh: Ahmad Syukri Azmi

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media penutup sempena lawatan rasminya ke China pada 23 September 2025. (People's Daily Online/Syukri)

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof pada sidang media penutup sempena lawatan rasminya ke China pada 23 September 2025. (People's Daily Online/Ahmad Syukri Azmi)

Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Fadillah Yusof menzahirkan pujian ke atas penganjuran Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-22, dengan menyifatkan ia sebagai telah berkembang menjadi platform utama dalam mempromosikan perdagangan, pelaburan, dan mengukuhkan rangkaian serantau, seterusnya memberi manfaat kepada rakyat ASEAN dan China.

Ketika mengulas lanjut soalan berkaitan CAEXPO dari People’s Daily Online dalam sidang media penutup lawatan rasminya ke China di sini pada Selasa, Fadillah berkata bahawa angka syarikat dari Malaysia yang mengambil bahagian dalam CAEXPO ke-22 sangat menggalakkan.

“Saya dimaklumkan produk-produk dari Malaysia khususnya dari sektor kecantikan dan makanan mendapat sambutan yang begitu baik.

“Sebenarnya, penganjuran ekspo ini adalah ruang dan peluang untuk syarikat dari kedua-dua negara berjumpa dan berinteraksi, serta melihat bagaimana (kedua-dua pihak) dapat mengembangkan perdagangan dan kemudahan sektor perniagaan,” ujar Timbalan Perdana Menteri itu lagi.

Beliau juga berpandangan bahawa penganjuran ekspo tidak seharusnya dilihat dari sudut industri, perdagangan atau pelaburan sahaja, tetapi juga dari aspek hubungan sesama manusia, bagi memperdalam persefahaman sekali gus mewujudkan suasana yang lebih baik dan harmoni.

Dalam perkembangan lain, Fadillah yang juga merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia itu turut berkongsikan hasil perbincangan dalam kerjasama sektor air dengan pihak China.

Jelas beliau, Malaysia dan China berkongsi cabaran bersama dalam menjamin keselamatan air, khususnya dalam suasana kesan perubahan iklim dan urbanisasi yang pesat.

“Kami bersetuju untuk meneroka kerjasama dalam pengurusan lembangan sungai, mitigasi banjir, konsep ‘Sponge City’, dan sistem air bersepadu.

“Saya tertarik dengan Integrated Riverbed Water Intake System (IWIS) di Chongqing dan melihat potensinya untuk diadaptasi di Malaysia, termasuk bagi penyahgaraman air laut di Labuan,” tambah Fadillah.

Sepanjang tujuh hari dalam rangka lawatan kali ini bermula pada 17 September, beliau telah berada di Nanning, Chongqing dan Beijing, selain turut mengadakan pertemuan dengan Naib Presiden China, Han Zheng dan Pengerusi Kerajaan Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang, Wei Tao.

Video

Berita Berkaitan