- Lain-lain
CAEXPO Bantu PKS Malaysia Masuk Pasaran China
CAEXPO ke-22 berlangsung dari 17 hingga 21 September di Nanning, Guangxi, selatan China. (People's Daily Online/Wu Yanhong)
Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) dianggap bukan sekadar peluang untuk pengusaha mempamerkan jenama dan membuat jualan, tetapi juga wahana yang membantu mereka, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), lebih memahami pasaran China dari sudut permintaan dan polisi.
Pada edisi ke-22 CAEXPO di Nanning baru-baru baru ini, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Malaysia mengatur penyertaan 15 syarikat domestik yang memiliki daya saing serta kemampuan eksport yang tinggi dari sektor-sektor seperti F&B, petrokimia dan kosmetik. Antaranya, banyak yang menzahirkan hasrat untuk bekerjasama dengan calon pembeli China, bahkan ada yang sudah pun memeterai MoU semasa Persidangan Suai Kenal Syarikat Makanan Malaysia-Guangxi pada 19 September.
Mewakili pihak Malaysia, CEO Halal Consulting (HQC) Khairul Shahril Hamzah menyatakan agensinya mahu merebut peluang daripada penaiktarafan versi 3.0 Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN untuk menggalakkan kemasukan lebih banyak produk Malaysia ke pasaran China. Katanya, kedua-dua pihak telah menandatangani beberapa banyak MoU perdagangan antarabangsa, yang diharap memberi syarikat China ruang yang lebih luas untuk meningkatkan import dan jualan produk Malaysia dengan memanfaatkan kemudahan tarif.
Tambah Khairul lagi, sejak terjalinnya ikatan diplomatik lebih 50 tahun lalu, China dan Malaysia telah mengekalkan hubungan diplomatik dan ekonomi yang sihat. Ini turut meletakkan asas yang kukuh untuk kedua-dua menjalankan kerjasama dengan lebih erat.
Menyentuh peranan China dalam integrasi ekonomi serantau, gergasi Timur itu yang merupakan pasaran import utama bagi produk-produk ASEAN, diharap terus menyokong barangan keluaran Malaysia, dan bersama-sama mendorong integrasi ekonomi.
Turut merebut peluang niaga, jenama sambal sedia dimakan Syilis telah menandatangani MoU dengan empat syarikat China dalam tempoh ekspo. Pengasas bersama jenama, Siti Nur Suhada Salehudin berkata bahawa produknya habis dijual dalam masa tiga hari, di luar jangkaan pasaran.
Pada pandangannya, CAEXPO benar-benar menampakkan potensi besar sinergi sektor perindustrian kedua-dua negara.
Jelas Suhada, salah satu kontrak yang dicapai pihaknya melibatkan kerjasama OEM dengan syarikat pengeluar sambal China. MoU ini akan memudahkan syarikat China itu mendapatkan sijil halal yang diperlukan untuk memasuki pasaran Malaysia, manakala pihaknya boleh memanfaatkan saluran-saluran di China untuk mempromosikan produk sendiri di sana.
Bagi NIMS Adelicious Sdn Bhd, ini merupakan penyertaan kali ketiga di CAEXPO. Menurut pengurus pemasaran Siti Nur Abidah Ramli, melalui ekspo ini, syarikatnya telah menjalin kerjasama dengan syarikat e-dagang China dan berjaya menjual produk bijirin coklat mereka di pelbagai platform domestik.
Ujarnya, produk mereka digemari semua lapisan pengguna China, lebih-lebih lagi kanak-kanak. CAEXPO menyediakan sebuah saluran penting untuk NIMS bekerjasama dengan pembeli di China.
CAEXPO, acara tahunan yang terbukti berkesan dalam merancakkan kerjasama praktikal antara syarikat China dan Malaysia. Peranannya sebagai pintu masuk ke pasaran China semakin terserlah, apabila banyak peserta kali ini menyuarakan hasrat untuk meningkatkan lagi penglibatan mereka dalam ekspo tahun depan.
Foto ini menunjukkan Pavilion Malaysia pada CAEXPO ke-22 di Nanning, Guangxi, selatan China. (People's Daily Online/Wu Yanhong)
- Syarikat Guangxi Usaha Tembusi Pasaran ASEAN, Manfaatkan E-dagang
- "AI + e-Sukan" Nyala Masa Depan
- Pusat Kerjasama Pengaplikasian AI China-ASEAN Dirasmikan
- 155 Perjanjian Ditandatangani dalam CAEXPO-22
- Pelajar China Kuasai Bahasa Melayu, Jadi Jambatan Komunikasi di CAEXPO
- Model Pelancongan dan Kebudayaan “AI Guilin” Dilancarkan Secara Rasmi di CAEXPO
- Naib Presiden China Han Zheng Hadir Majlis Perasmian CAEXPO ke-22
- Tinjauan CGTN: CAEXPO Platform Penting Pelihara Multilateralisme Global
- Timbalan Presiden China Bertemu TPM Malaysia di Nanning
- CAEXPO ke-22 Sediakan Pavilion Khas AI