Kerjasama Asia Pasifik: Kenapa Presiden Xi Jinping Menegaskan Keterbukaan

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 29 Oktober 2025

Presiden China Xi Jinping pernah menyebut bahawa, “Keterbukaan ialah nadi kepada kerjasama Asia-Pasifik”.

Menjelang Mesyuarat Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi APEC ke-32 yang berlatarbelakangkan suasana antarabangsa yang tidak menentu, pelbagai pihak di rantau ini sedang berikhtiar untuk menghadapi perubahan dan merancang masa depan. Pada masa sama, visi China dalam isu ini semakin menonjol.

Dari perspektif sejarah, keterbukaan dilihat sebagai kunci kejayaan.

Menurut Presiden Xi, ia adalah kerana Asia Pasifik berjaya keluar daripada bayangan Perang Dingin, manakala ekonomi kecil dan sederhana khususnya telah melangkah ke laluan pantas yang menuju pemodenan, dan mencipta ‘keajaiban Asia-Pasifik’.

APEC ditubuhkan sebelum berakhirnya Perang Dingin, seiring dengan arus globalisasi ekonomi, dan telah menjadi platform penting bagi kerjasama terbuka serantau.

Data membuktikan perubahan yang dibawa oleh keterbukaan. Dari tahun 1989 hingga 2022, jumlah perdagangan barangan dan perkhidmatan di rantau APEC meningkat daripada AS$3.1 trilion kepada AS$30 trilion. Kini, ekonomi Asia-Pasifik menyumbang lebih 60% daripada ekonomi dunia, yakni hampir separuh daripada perdagangan global, dan 70% daripada pertumbuhan ekonomi global.

Dalam tempoh lebih 30 tahun, pendapatan per kapita di rantau ini meningkat lebih empat kali ganda, dan satu bilion individu berjaya dikeluarkan daripada kancah kemiskinan.

Sejarah menunjukkan bahawa konfrontasi blok dan prasangka akhirnya menjurus kepada malapetaka; pembangunan tertutup akan menemui kegagalan, manakala hanya keterbukaan dapat membawa kemajuan yang sebenar.

Pada masa kini, keterbukaan menjadi konsensus dan jalan untuk menghadapi cabaran. Anggota APEC akan bermesyuarat di Gyeongju, Korea Selatan, dalam keadaan tekanan unilateralisme dan proteksionisme (fahaman perlindungan).

“Waima bagaimana keadaan antarabangsa berubah, kita mesti dengan tegas memajukan pembinaan ekonomi dunia yang terbuka, berkongsi peluang dan mencapai manfaat bersama melalui keterbukaan,” demikian yang diungkapkan Presiden Xi.

Gagasan tersebut mendapat sambutan luas di rantau ini, dengan para pemimpin dari negara seperti New Zealand, Singapura, Australia dan lain-lain turut menegaskan pentingnya mempertahankan sistem perdagangan pelbagai hala dan perdagangan bebas.

Arus cabaran hanya mampu ditentang dengan keterbukaan. Sebagai contoh, produk Peru berjaya menembusi pasaran China melalui Ekspo Import China, menghubungkan tempat asal dengan peluang baharu.

Data menunjukkan bahawa dalam tiga suku pertama tahun ini, jumlah perdagangan China-ASEAN mencapai RMB5.57 trilion, meningkat 9.6%.

Protokol peningkatan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN versi 3.0 akan ditandatangani tidak lama lagi, yang bakal memperkukuh daya tahan pembangunan serantau dan menyuntik tenaga baharu ke dalam ekonomi dunia.

Melihat ke hadapan, keterbukaan ialah jalan masa depan.

“Sungai besar yang mengalir ke laut pasti akan bertemu arus menentang, namun tiada arus yang mampu menghalang air daripada terus mengalir ke timur,” ujar Presiden Xi. Keyakinan ini adalah hasil daripada tenaga inovasi dan pembangunan hijau.

China kini bekerjasama dengan Asia Tenggara dan Amerika Latin dalam industri hijau untuk membangunkan pusat industri baharu serta menggalakkan transformasi rantaian bekalan. Sistem perdagangan pelbagai hala amat diperlukan, dan rantau Asia-Pasifik perlu menjadi peneraju dalam mempertahankan peraturan global. Tema mesyuarat, “Membina Masa Depan yang Mampan,” mencerminkan aspirasi bersama dan menyampaikan semangat keterbukaan.

Menoleh ke belakang, faktor kejayaan Asia-Pasifik adalah hasil daripada usaha pengekalan keamanan, berpegang pada multilateralisme dan keterbukaan serantau, serta menyesuaikan diri dengan globalisasi demi manfaat bersama.

Melangkah ke masa depan, semua pihak perlu berpegang pada semangat kerjasama, menghadapi cabaran global bersama, melaksanakan Visi Putrajaya, dan membina Komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman demi kemakmuran bersama.

Video

Berita Berkaitan