Pembuat Permainan China Gabungkan AI Dengan Elemen Kebudayaan, Kecapi Kejayaan Antarabangsa

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 12 November 2025

Pesanan eksport untuk permainan baharu dengan keupayaan kecerdasan buatan (AI) dan dilengkapi oleh pembelajaran pengaturcaraan semakin meningkat, dengan beberapa pengeluaran oleh syarikat-syarikat telah dijadualkan untuk berlangsung pada suku pertama tahun hadapan, sekali gus menyuntik momentum baharu terhadap perdagangan asing China.

“Pada tahun ini, permintaan pelanggan dari luar negara untuk inovasi jelas kelihatan. Secara khususnya, permainan yang berserta dengan fungsi AI telah direbut oleh pengedar sejurus ia tiba di pelabuhan,” ujar Zhan Junyan, pengurus besar Syarikat Guangdong Qman Toys Industry.

Difahamkan, robot pengaturcaraan dan haiwan peliharaan pintar AI telah menyaksikan volum eksport melonjak sebanyak 200 peratus dari tahun ke tahun sejak permulaan awal tahun ini.

Di daerah Chenghai, Shantou, Provinsi Guangdong di selatan China yang turut digelar sebagai ‘ibu kota permainan’, banyak pengilang kini beroperasi pada kapasiti penuh. China kekal sebagai pengeluar dan pengeksport permainan terbesar di dunia, dengan Chenghai mencakupi sebanyak 60 peratus daripada pasaran permainan global.

Dalam kalangan perusahaan permainan tempatan di atas saiz yang ditetapkan, bahagian eksport permainan AI telah mengembang, iaitu kurang daripada 10 peratus pada tahun lalu, kepada lebih 30 peratus pada ketika ini.

Permainan dipamerkan di sebuah syarikat permainan di daerah Chenghai, bandar Shantou, Provinsi Guangdong di selatan China pada 2 Disember 2021. (Xinhua/Deng Hua)

Permainan dipamerkan di sebuah syarikat permainan di daerah Chenghai, bandar Shantou, Provinsi Guangdong di selatan China pada 2 Disember 2021. (Xinhua/Deng Hua)

“Pesanan kami telah ditempah untuk sehingga Mac tahun depan,” kongsi seorang eksekutif di Syarikat Guangdong Weili Intelligent Development. Siri robot pengaturcaraan AI syarikat tersebut yang dilancarkan pada tahun ini telah menjadi tular di Eropah dan Amerika Syarikat, dengan volum kontena eksport bulanan menokok daripada 20 pada permulaan tahun ni, kepada 50 pada masa ini.

Memetik data yang dikeluarkan Pentadbiran Am Kastam, pada tiga suku pertama tahun ini, China mengeksport produk percutian, patung mainan dan permainan berbentuk haiwan bernilai lebih daripada RMB50 bilion (AS$7.02 bilion) kepada lebih daripada 200 negara dan wilayah.

Banyak produk dikategorikan sebagai ‘Guochao’, iaitu trend yang menggabungkan reka bentuk moden dengan elemen kebudayaan China tradisional, yang memperlihatkan tarikan kebudayaan China. Pada tahun-tahun mutakhir ini, sejumlah besar produk ‘Guochao’ telah menjadi produk laris global, menjadi pilihan dalam kalangan pengguna luar negara dan memberi dorongan terhadap pengembangan dalam eksport China.

Tatkala menghadapi permintaan pasaran yang saban meningkat, syarikat-syarikat permainan turut melipatgandakan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, serta mengembangkan kapasiti pengeluaran.

“Kami tidak lagi hanya berpuas hati dengan sekadar kontrak pengeluaran. Kami menubuhkan pasukan algoritma AI sendiri untuk membangunkan kandungan interaktif untuk kanak-kanak dengan pelbagai peringkat umur,” ujar Zhou Yu, pengerusi sebuah syarikat yang berpangkalan di Guangzhou. Pada tahun ini, syarikat itu mengembangkan barisan pengeluaran permainan AI-nya daripada dua kepada lima, serta meningkatkan individu R&D daripada 10 peratus kepada 20 peratus.

Satu trend yang jelas dapat dilihat pada tahun ini adalah penyepaduan elemen kebudayaan China dengan teknologi termaju dalam eksport permainan AI.

Dalam kluster industri permainan Chenghai, mekanik pintar AI yang menggabungkan elemen seni mempertahankan diri China telah tular dalam platform video di luar negara, dengan sebuah video ulasan berjaya menarik 5 juta penonton, sekali gus mendorong jualan menjadi laris di pasaran Amerika Utara.

Wang Lei, seorang ahli majlis Persatuan untuk Kecerdasan Buatan China memberitahu bahawa, syarikat-syarikat permainan China sedang berevolusi daripada pembuatan tradisional kepada pembuatan pintar, seterusnya membina daya saing global yang unik menerusi penggabungan budaya China tradisional dengan teknologi baru muncul seperti AI.

Pembangunan pesat permainan AI telah disemarakkan oleh sokongan dasar dan penemuan baharu dalam teknologi.

Pada September, Provinsi Guangdong telah mengeluarkan pelan tindakan untuk mempercepat penggunaan AI dalam industri permainan sehingga tahun 2027.

Menurut pelan tersebut, hasil pengoperasian syarikat permainan di atas saiz yang ditetapkan dijangka untuk mencapai RMB100 bilion menjelang 2027, dengan penembusan permainan AI melangkaui 30 peratus.

Pelan itu antara lainnya turut berobjektif untuk memperkukuh daya saing kluster industri dengan membangunkan kluster industri permainan yang maju di Shantou, Dongguan dan Shenzhen, sambil melahirkan sekurang-kurangnya lima syarikat permainan AI terkemuka yang berdaya saing di pentas antarabangsa.

Dari aspek teknikal, kematangan pengesanan suara AI, visi komputer, pengkomputeran afektif, dan pelbagai teknologi lain telah membolehkan inovasi yang berterusan dalam permainan pintar.

Video

Berita Berkaitan