China Perkukuh Perlindungan Menyeluruh Panda Gergasi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Isnin 01 Disember 2025

Qizai, satu-satunya panda gergasi berwarna coklat kurungan di dunia. (Foto dari akaun rasmi WeChat pentadbiran ruang angkasa Xi’an)

Qizai, satu-satunya panda gergasi berwarna coklat kurungan di dunia. (Foto dari akaun rasmi WeChat pentadbiran ruang angkasa Xi’an)

Pada tahun-tahun mutakhir ini, China secara signifikan telah menambah baik usahanya dalam melindungi panda gergasi, melaksanakan tindakan menyeluruh yang merangkumi pembiakan, pengembalian hidupan liar dan kerjasama antarabangsa, sekali gus mencapai keputusan menakjubkan yang mencuri perhatian global.

Salah satu contoh paling menyerlah terhadap kejayaan China dalam perlindungan adalah Qizai, iaitu satu-satunya panda gergasi berwarna coklat kurungan di dunia. Panda berusia 16 tahun itu tinggal di Qinling Four Rare Animals Science Park di Provinsi Shaanxi, barat laut China, iaitu tempat ia menjadi tarikan utama.

Bulu unik berwarna coklat Qizhai, iaitu hasil daripada mutasi genetik, telah ditemui buat pertama kali apabila penduduk kampung di kaunti Foping mendapati anak panda tersebut dalam keadaan yang lemah pada November 2009.

Sejak itu, ia telah menjadi sebahagian daripada penyelidikan yang meluas, dan sementara ia telah melahirkan beberapa anak panda, tiada satu pun daripadanya mewarisi bulu berwarna coklat tersebut.

Kini, berat Qizai adalah sekitar 120 kilogram dan ia terus menjadi simbol kepada kejayaan dalam usaha perlindungan yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Panda Gergasi Qinling.

Qinling Four Rare Animals Science Park bukan sahaja merupakan tempat tinggal buat Qizai, tetapi juga berfungsi sebagai kemudahan awam yang mempamerkan pencapaian pemuliharaan wilayah tersebut.

Zhang Danhui, timbalan ketua jabatan pengurusan panda di Pusat Penyelidikan Panda Gergasi Qinling berkongsi bahawa pihaknya telah mencapai kejayaan dalam pemantauan hormon pembiakan dan permanian beradas pada beberapa tahun kebelakangan ini.

Jelasnya, ia secara tidak langsung telah membantu meningkatkan kadar kejayaan pembiakan daripada 20 peratus kepada 67 peratus, seterusnya memastikan populasi kurungan yang mampan.

Imej bertarikh 24 September 2025 ini menunjukkan panda gergasi yang baru lahir di Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu. (Foto oleh Chen Yusheng)

Imej bertarikh 24 September 2025 ini menunjukkan panda gergasi yang baru lahir di Pangkalan Penyelidikan Pembiakan Panda Gergasi Chengdu. (Foto oleh Chen Yusheng)

Selain usaha pembiakan, taman tersebut telah melaksanakan sistem pengurusan kesihatan yang ketat, dengan kakitangan ditugaskan untuk menyelia kesejahteraan panda. Protokol pencegahan penyakit dipatuhi dengan ketat, sementara pemeriksaan kesihatan berkala dijalankan setiap tiga hingga enam bulan untuk memastikan kesihatan dan keselamatan panda.

Di Beijing, Zoo Beijing, yang telah menjadi tempat tinggal buat panda gergasi sejak tahun 1955, terus menarik jutaan pengunjung saban tahun. Zoo ini telah mencapai beberapa pencapaian penting dalam pembiakan panda, termasuk pembiakan semula jadi panda gergasi pertama yang berjaya di bawah keadaan kurungan.

“Dewan panda gergasi sentiasa popular. Tahun lepas, kami menerima kira-kira 4.8 juta pengunjung,” kata seorang ahli pasukan pemeriksaan zoo. Pada masa ini, zoo tersebut menempatkan sepuluh ekor panda gergasi.

Melalui penyelarasan rapat antara penjaga panda zoo, pasukan pemakanan, dan hospital veterinar, setiap panda gergasi menerima penjagaan yang teliti.

“Diet panda sangat pelbagai. Kami menyediakan setiap panda dengan 50 hingga 70 kilogram buluh segar setiap hari, bersama-sama dengan rebung, ban kukus, lobak merah, dan epal,” kata Ding Nan, ketua pasukan penjaga panda.

Cao Yani dari pasukan sokongan penjagaan haiwan zoo menjelaskan bahawa kakitangan telah mereka bentuk satu siri aktiviti pengayaan berdasarkan penyelidikan meluas tentang tingkah laku panda.

Inisiatif tersebut bertujuan untuk mengoptimumkan persekitaran dan interaksi panda, mensimulasikan tingkah laku semula jadi serta memenuhi keperluan fizikal dan psikologi panda.

Di pangkalan Shenshuping Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China di Rizab Alam Semula Jadi Negara Wolong, Provinsi Sichuan di barat daya China, penjaga panda Xu Xiang menyambut panda gergasi Fubao setiap hari sebagai sebahagian daripada rutinnya.

Dilahirkan pada 2020, Fubao mencipta sejarah sebagai panda gergasi China pertama yang dilahirkan di Korea Selatan. Selepas kembali ke China pada April 2024, Fubao membuat penampilan sulung rasminya pada Jun.

Bagi memudahkan peralihan Fubao ke persekitaran baharunya, Pusat Pemuliharaan dan Penyelidikan Panda Gergasi China melaksanakan pendekatan penyesuaian secara beransur-ansur, bermula dengan kuarantin selama sebulan.

“Kami mengawasi berat, keadaan bulu panda dan petunjuk kesihatan yang lain pada setiap hari, dan menyediakan rebung, epal dan makanan lain untuk mengenal pasti apa yang digemarinya,”, ujar Xu.

Dengan penyelesaian pangkalan Mianyang yang baharu mutakhir ini, Pusat Penyelidikan dan Pemuliharaan Panda Gergasi China itu kini mengoperasikan lima pangkalan utama di provinsi Sichuan.

Difahamkan, setiap satu pangkalan mempunyai fokus yang spesifik, namun bekerjasama secara rapat untuk memberikan perlindungan menyeluruh buat panda termasuk usaha dalam pembiakan, pengembalian hidupan liar dan kerjasama antarabangsa.

Seksyen Sichuan Taman Kebangsaan Panda Gergasi yang menempatkan 1,227 panda liar telah membuat langkah-langkah signifikan dalam pemulihan semula habitat. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, lebih daripada 22,093 hektar habitat telah dipulihkan, dan usaha tersebut sedang berterusan di tujuh koridor ekologi utama.

Seekor panda gergasi di Zoo Beijing. (Foto oleh Fan Jiashan)

Seekor panda gergasi di Zoo Beijing. (Foto oleh Fan Jiashan)

Video

Berita Berkaitan