Dakwaan "Jepun Perlu Milik Senjata Nuklear" dalam Perhatian Besar China

(CRI)Sabtu 20 Disember 2025

Seorang pegawai kanan kerajaan Jepun baru-baru ini dilaporkan pernah menyatakan pendapatnya dengan berkata bahawa “Jepun sepatutnya memiliki senjata nuklear memandangkan keadaan keselamatan semakin tegang di sekitar negaranya".

Dengan ini, jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun pada Jumaat berkata, jika laporan itu benar, ia akan menjadi satu isu serius kerana memperlihatkan muslihat berbahaya sesetengah orang Jepun untuk melanggar undang-undang antarabangsa dengan memiliki senjata nuklear.

“China dan seluruh masyarakat antarabangsa mesti berwaspada pada tahap tinggi dan menunjukkan keprihatinan serius terhadap muslihat itu.

“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti-Fasis Dunia. Pihak Jepun digesa menginsafi secara mendalam jenayah yang dilakukannya dalam sejarah, berpegang kepada undang-undang antarabangsa dan Perlembagaan Jepun, berhenti mencari alasan untuk memperhebat kekuatan ketenteraannya, dan jangan mengintai-intai garis merah keadilan antarabangsa dalam isu pemilikan senjata nuklear,” kata Guo.

Video

Berita Berkaitan