‘Sekolah’ Latih Robot Manusia untuk Alam Kerja

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Khamis 25 Disember 2025

Foto menunjukkan robot manusia di Pusat Latihan Data Robot Manusia Beijing.

Foto menunjukkan robot manusia di Pusat Latihan Data Robot Manusia Beijing. (Foto ihsan pusat media daerah Shijingshan)

Di daerah Shijingshan, Fasa II Pusat Latihan Data Robot Manusia Beijing, iaitu kemudahan seumpama yang terbesar di China, berfungsi sebagai “sekolah” untuk robot menjalani latihan berasaskan senario sebelum ditempatkan untuk kerja.

Bangunan dua tingkat ini mencipta semula keadaan pengeluaran dan kehidupan dunia sebenar pada skala penuh. Setiap modul latihan, atau juga dipanggil ‘sel’, diatur secara modular dan disusun semula dengan kerap untuk mencerminkan konteks operasi yang pelbagai.

Model utama yang menjalani latihan ialah “Kuafu”, sebuah robot manusia berketinggian 1.66 meter. Latihan dijalankan dalam persekitaran “kelas kecil”, dengan dua pelatih ditugaskan bagi setiap robot.

“Sama seperti kanak-kanak yang perlu berulang kali berlatih untuk berjalan, robot mesti dilatih secara ekstensif meliputi senario yang pelbagai untuk membina kecerdasan yang praktikal,” ujar Zhu Kai, ketua pusat latihan.

Jelasnya, pusat tersebut memfokuskan isu terbesar dalam industri robot, iaitu kekurangan data yang berkualiti tinggi dan berstruktur. Latihan berasaskan senario menghasilkan data yang secara sistematiknya dibersihkan, dilabel dan dibekalkan kepada syarikat untuk pembangunan model berskala besar.

Zhu berkata, pengeluaran data yang terpusat dan terpiawai membolehkan wujudnya set-set data berkualiti tinggi dan berkesan kos yang menguntungkan seluruh industri. Menurut jangkaan, pusat latihan itu mampu menjana beberapa juta entri data berkualiti tinggi setahun.

Di sana, latihan robot bermula dengan pilihan “jurusan” daripada empat kategori, iaitu pembuatan industri, aplikasi rumah pintar, khidmat jagaan warga tua, dan senario membabitkan 5G, meliputi sejumlah 16 disiplin khusus.

Pelatih melatih robot manusia.

Pelatih melatih robot manusia. (Foto ihsan pusat media daerah Shijingshan)

Pelatih secara tipikalnya memerlukan tujuh hingga lapan hari untuk membimbing robot melalui satu senario.

“Latihan memerlukan perhatian teliti,” kata Shi Xuanyu, salah seorang pelatih paling mahir di pusat tersebut. Misalnya, untuk mengajar robot meletakkan kuali di dapur memerlukan ulangan sebanyak 1,250 kali ­– setiap pergerakan dirakam untuk meningkatkan koordinasi robot.

Setakat ini, robot-robot yang dilatih di pusat tersebut telah memperoleh lebih daripada 20 kemahiran, termasuk mengendalikan, memeriksa dan menghantar bahan, dengan kadar kejayaan tugas melebihi 95 peratus.

Seorang pelatih melatih robot manusia.

Seorang pelatih melatih robot manusia. (Foto ihsan pusat media daerah Shijingshan)

Sebuah paparan elektronik di pusat latihan mengumumkan penempatan beberapa “graduan cemerlang”. Ada yang bekerja sebagai pengendali bahan di kilang pembuat kenderaan China FAW Group Co., Ltd., ada juga yang menjadi kurier di Shenzhen Capital Group, pegawai pemantau bekalan kuasa di China Southern Power Grid Co., Ltd., atau pun petugas perkhidmatan di Forum Zhongguancun.

Salah satu faktor utama di sebalik kesesuaian “graduan” robot diambil kerja ialah latihan praktikal berasaskan senario yang ditawarkan pusat tersebut. Persekitaran yang direplikakan di sana mencerminkan operasi dunia sebenar.

Tatkala bermulanya fasa pembangunan pesat industri ini, semakin banyak robot yang dilatih di pusat itu dijangka dilihat dalam rumah dan industri merata negara.

Video

Berita Berkaitan