Guangxi Berusaha Pacu Perdagangan Buah-buahan China-ASEAN

Satu acara beli-belah yang bertemakan buah-buahan ASEAN telah dilancarkan di Nanning, wilayah Guangxi, selatan China, pada Rabu.

Pada majlis perasmian acara itu, Li Shuo, timbalan pengarah perdagangan Guangxi merumuskan kelebihan Guangxi sebagai satu-satunya pintu sempadan darat-laut yang menghubungkan China dan negara-negara ASEAN.

Li Shuo, timbalan pengarah perdagangan Guangxi ketika menyampaikan ucapannya semasa majlis perasmian acara beli-belah di Nanning, Guangxi.

Li Shuo, timbalan pengarah perdagangan Guangxi ketika menyampaikan ucapannya semasa majlis perasmian acara beli-belah di Nanning, Guangxi.

Beliau berkata, Guangxi mempunyai 22 pintu sempadan dan 12 tapak pemeriksaan buah import (paling banyak di China). Pintu sempadan Youyiguan mengendalikan 70% daripada jumlah durian import China.

Selain itu, proses pelepasan kastam di Guangxi merupakan antara yang paling cekap di China. Kastam Guangxi kini memberi keutamaan untuk produk pertanian import dan menawarkan perkhidmatan janji temu 24/7 untuk mengekalkan kualiti dan kesegaran buah-buahan.

Jelas Li, Guangxi kini berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan ke arah pendigitalan dan kepintaran bagi memastikan proses pemeriksaan buah-buahan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan pantas.

Katanya, satu pintu sempadan pintar China-Vietnam juga sedang dibina di Guangxi, yang dijangka akan melancarkan lagi proses pelepasan kastam.

Turut sama dilancarkan pada acara tersebut adalah satu panduan untuk perusahaan yang merangkumi dasar menyokong perdagangan buah RCEP dan akses perkhidmatan.

Video

Berita Berkaitan