Robot Pintar Transformasi Operasi Pelabuhan Qingdao

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Rabu 14 Januari 2026

Foto dron bertarikh 4 Disember 2025 ini menunjukkan kontena menunggu pemindahan ke kapal di Terminal Kontena Qianwan Pelabuhan Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

Foto dron bertarikh 4 Disember 2025 ini menunjukkan kontena menunggu pemindahan ke kapal di Terminal Kontena Qianwan Pelabuhan Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

Robot pintar kini mentransformasikan operasi di Pelabuhan Qingdao, sebuah subsidiari Shandong Port Group di provinsi Shandong, timur China.

Tahun-tahun kebelakangan ini, pelabuhan berkenaan telah membangunkan dan menempatkan hampir 20 jenis robot pintar, sekali gus melakar haluan ke arah pembangunan berkualiti tinggi menerusi transformasi dan penaiktarafan.

Pada 2025, pelabuhan berusia satu abad itu menjadi salah satu pangkalan rintis peringkat negara yang pertama untuk pengaplikasian kecerdasan buatan dalam sektor pengangkutan. Satu-satunya pelabuhan yang terpilih untuk projek tersebut, Pelabuhan Qingdao mengubah diri menjadi tapak ujian inovasi sains dan teknologi.

Penggunaan bekalan tenaga dari darat apabila kapal berlabuh merupakan langkah mustahak untuk pelabuhan membangun dengan hijau, secara serentak mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan. Bagaimanapun, kabel yang tidak cukup panjang, mobiliti yang terhad dan operasi yang rumit telah lama mengekang kecekapan sambungan bekalan tenaga kapal-ke-darat dan juga perancangan kapal yang masuk berlabuh.

“Persekitaran di dermaga rumit, dan disebabkan tiada peralatan siap pakai, kami nekad membangunkan sendiri robot berbekalan tenaga dari darat yang bervoltan tinggi,” ujar Zhang Feng, timbalan pengurus besar Qingdao New Qianwan Container Terminal Co., Ltd.

Bagi menjayakan matlamat ini, pasukan penyelidikan memindahkan pejabat mereka ke tapak operasi. Usaha membuahkan hasil apabila mereka berjaya membangunkan alat menggulung kabel baharu dengan kepanjangan kabel sekali ganda berbanding produk-produk jenis sama sambil mengurangkan volum struktur sebanyak 30 peratus.

Selepas tiga bulan, lahirlah robot pertama Pelabuhan Qingdao yang bervoltan tinggi menggunakan bekalan tenaga dari darat. Robot tersebut mampu bergerak secara fleksibel menerusi ruang sempit antara kren bagan dan kapal, justeru menyelesaikan pemasangan sambungan kabel dengan pantas dan tepat biarpun kedudukan kapal yang berlabuh kurang laras.

Pada 2025, robot itu menguruskan lebih 200 kapal dengan kadar penggunaan melebihi 60 peratus, melonjakkan penggunaan tenaga dari darat di terminal berautomasi itu hingga melebihi 6 juta kilowatt-jam, naik lebih 85 peratus berbanding dengan tahun sebelum.

Hasil inovasi ini telah diguna pakai oleh banyak pelabuhan merata negara, dengan efektifnya menangani cabaran-cabaran sambungan bekalan tenaga dari darat dan menyediakan penyelesaian yang boleh ditiru untuk transformasi hijau pelabuhan seluruh China.

Foto dron bertarikh 4 Disember 2025 ini menunjukkan kenderaan panduan berautomasi memindahkan kontena di Terminal Kontena Qianwan Pelabuhan Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

Foto dron bertarikh 4 Disember 2025 ini menunjukkan kenderaan panduan berautomasi memindahkan kontena di Terminal Kontena Qianwan Pelabuhan Qingdao, provinsi Shandong, timur China. (Xinhua/Li Ziheng)

Pelabuhan Qingdao juga telah mencipta sebuah robot penghitungan pintar yang berupaya melakukan pergerakan berautomasi dan persepsi panoramik, membolehkan kerani penghitungan mengelakkan pendedahan kepada angin dan matahari namun masih boleh menjalankan operasi dengan darjah penglihatan yang jelas, dapat dikawal dan boleh direkodkan sepenuhnya.

Pasukan penyelidikan di Qingdao Ocean Shipping Tally Co., Ltd. mengguna pakai rekaan sistem bertrek. Zang Wensheng, pengurus jabatan teknologi maklumat syarikat tersebut, mengetuai pasukannya bekerja di tapak, memerhatikan keadaan jalan, mengubah suai struktur dan mengoptimumkan bahan secara berkala.

Selepas berpuluh kali cubaan, mereka berjaya mencipta sebuah sistem trek cengkaman tinggi yang berjaya disesuaikan dengan pelbagai permukaan termasuk konkrit dan plat keluli, mencapai mobiliti dalam semua senario.

Pasukan itu turut melengkapi robot terbabit dengan beberapa kamera semua hala yang boleh dilaraskan sendiri, di samping membangunkan algoritma penjadualan visual pintar untuk mengenal pasti tanda kargo secara automatik di posisi-posisi berbeza, yang melatih sistem tersebut dengan data daripada puluhan ribu pengenal kargo.

Mereka membina sebuah sistem pelindung tiga lapis menggunakan rangkaian yang berwayar, wayarles dan swasusun, menjamin bahawa sekiranya signal wayarles konvensional terputus, sambungan sandar serta-merta mengambil alih, memastikan penghantaran data dalam masa nyata dan terjamin, serta kelancaran operasi.

“Dahulu, saya berjalan 20,000 langkah setiap syif. Sekarang saya boleh memantau beberapa tapak kerja dengan mudah. Tahap intensiti buruh telah turun dengan ketara, manakala ketepatan dan kecekapan meningkat dengan signifikan,” kata Gao Fangyu, yang telah menghabiskan sebahagian besar kerjayanya membuat penghitungan di Pelabuhan Qingdao.

Sejak robot penghitungan pintar diguna pakai, masa penghitungan per hantaran telah berkurang sebanyak 30 peratus, pendedahan kakitangan kepada risiko di lapangan turun lebih 90 peratus, dan ketepatan maklumat menghampiri kadar 100 peratus.

Di terminal bijirin zon Dongjiakou Pelabuhan Qingdao, robot pemeriksaan pintar menawarkan sokongan yang amat penting. Robot-robot ini menjalankan pemeriksaan harian mengikut laluan yang ditetapkan lebih awal dengan lebih tiga kali kekerapan berbanding pemeriksaan oleh manusia.

Mod ini mengurangkan sebanyak 40 peratus input tenaga manusia dan 25 peratus kegagalan konveyer pita, justeru memastikan pengangkutan bijirin berjalan secara terus dan stabil, sambil menurunkan kos pekerja dan penyelenggaraan.

Transformasi pintar Pelabuhan Qingdao sedang menyuntik momentum kuat terhadap pembinaan keupayaan China dalam bidang pengangkutan, di samping menghidupkan kembali pelabuhan tersebut dengan kedinamikan baharu dalam sektor perkapalan global.

Video

Berita Berkaitan