China Temu Rahsia Hasilkan Gentian Karbon Prestasi Tinggi

(Akhbar Renmin Ribao Dalam Talian)Jumaat 16 Januari 2026

Gentian karbon gred T1000. (Foto ihsan Institut Kimia Arang (ICC) Shanxi, Akademi Sains China)

Gentian karbon gred T1000. (Foto ihsan Institut Kimia Arang (ICC) Shanxi, Akademi Sains China)

Di Shanxi, utara China, batu hitam yang dulunya dibakar untuk menjana tenaga kini lahir semula sebagai gentian karbon yang menjadi komponen penting roket dan kapal angkasa.

Baru-baru ini, satu projek gentian karbon prestasi tinggi dilancarkan di bandar Datong, menandakan bermulanya era pengeluaran domestik gentian karbon gred T1000 berskala besar di China.

Jing Deqi, jurutera kanan dari Institut Kimia Arang (ICC) Shanxi di bawah Akademi Sains China, menjelaskan bahawa gentian karbon yang dihasilkan itu mempunyai diameter filamen yang hanya 5 hingga 6 mikrometer – tidak sampai sepersepuluh ketebalan rambut manusia – namun memiliki kekuatan tegangan melebihi 6,600 MPa. Dengan kepadatan hanya seperempat keluli, kekuatannya dilaporkan lebih daripada lima kali ganda.

Gentian karbon mewarisi sifat-sifat intrinsik karbon seperti ringan dan berkekuatan tinggi, namun kekal fleksibel seperti benang tekstil. Ciri-ciri ini memberi bahan tersebut reputasi sebagai “raja material moden”.

Ia digunakan untuk membuat lapisan luaran tahan panas untuk roket, membentuk fiuslaj ringan untuk kapal terbang, bahkan plat karbon dalam kasut sukan ataupun basikal.

Sebelum ini, bahan tersebut, sering kali dipanggil “emas hitam”, dikawal hampir seluruhnya oleh pengeluar dari AS dan Jepun yang memegang lebih daripada 90 peratus pasaran atasan global.

Zhang Shouchun, timbalan pengarah ICC, mengatakan pencapaian China dalam teknologi dan pengeluaran stabil gentian karbon prestasi tinggi, tanda tercapainya kemandirian dalam banyak bidang yang kritikal.

 Tapak pengeluaran gentian karbon. (Foto ihsan Institut Kimia Arang (ICC) Shanxi, Akademi Sains China)

Tapak pengeluaran gentian karbon. (Foto ihsan Institut Kimia Arang (ICC) Shanxi, Akademi Sains China)

Video

Berita Berkaitan