- Lain-lain
Program Kerjasama Panda Antarabangsa, Bukan Diplomasi Panda

Baru-baru ini, dua ekor panda gergasi yang baharu iaitu Chen Xing dan Xiao Yue telah pun diperkenalkan secara rasmi kepada rakyat Malaysia menerusi satu majlis yang berlangsung di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara di Kuala Lumpur.
Pada masa yang sama, dua ekor panda yang dikenali sebagai Xiao Xiao dan Lei Lei telah dikembalikan kepada China oleh Jepun. Peristiwa itu menyaksikan kali pertama negara berkenaan tidak memiliki panda dalam tempoh 42 tahun.
Bagaimanapun, ketika Satria berbual-bual dengan rakan media dari Malaysia, mereka acap kali menggunakan istilah “Diplomasi Panda China” dalam apa jua terbitan artikel.
Saya berulang kali menjelaskan bahawa panda bukan merupakan hadiah untuk tujuan diplomatik, sebaliknya merupakan satu program kerjasama penyelidikan sains terhadap haiwan liar yang menjadi ikon kebanggaan China.
Tahukan anda, jumlah panda liar di China hanya merekodkan kira-kira 1,100 ekor sahaja pada 1980-an, namun angka berkenaan meningkat kepada lebih 1,900 ekor pada masa kini. Keadaan itu sekali gus mencerminkan pencapaian yang cemerlang dalam kerjasama berkaitan penyelidikan dan perlindungan panda.
Haiwan mamalia yang hanya terdapat di China itu dipinjamkan kepada pelbagai negara, termasuk Malaysia, bukan sekadar sebagai perlambangan hubungan antarabangsa, malah usaha untuk menyumbang kepada perlindungan panda.
Pada tahun 1983, fenomena pembungaan dan kematian buluh secara besar-besaran telah mengakibatkan kekurangan sumber makanan dan populasi panda liar.
Keadaan itu telah menarik perhatian masyarakat di China sehingga mendorong kepada penubuhan Pusat Perlindungan dan Penyelidikan Panda Gergasi China serta Pangkalan Pembiakan dan Penyelidikan Panda Gergasi Chengdu sebagai usaha pembiakan haiwan mamalia berkenaan.
Pada masa yang sama, kerajaan China memperkenalkan Undang-undang Perlindungan Haiwan Liar yang mula berkuat kuasa pada tahun 1988.
Tidak sekadar itu, China juga menyedari mengenai kepentingan mengadakan kerjasama dengan luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) dan Jepun yang dilihat berupaya membawa konsep dan teknologi baharu bagi menyokong kepada usaha perlindungan dan pembiakan panda gergasi secara menyeluruh.
Hingga kini, terdapat lebih 800 ekor panda yang berada dalam ekosistem konservasi haiwan berkenaan di seluruh dunia.
Tidak sekadar itu, kecomelan dan gelagat lucu panda juga telah membuatkan masyarakat global begitu tertariknya.
Justeru, program seumpana itu telah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perlindungan terhadap haiwan liar di negara-negara yang terlibat secara langsung dengan usaha-usaha tersebut.
Tanggal 25 Januari lalu, merupakan hari terakhir buat para pengunjung Zoo Ueno di Tokyo untuk bertemu dengan panda gergasi Xiao Xiao dan Lei Lei.
Ini telah menyaksikan lebih 310,000 penduduk Jepun mengemukakan pemohonan untuk bersua buat kali terakhir dengan pasangan panda gergasi tersebut. Daripada angka itu, hanya 4,400 orang sahaja terpilih untuk mengucapkan “Sayonara” kepada Xiao Xiao dan Lei Lei di Zoo Ueno.
Pada kesempatan ini juga, Satria ingin menyampaikan penghargaan dan ucapan terima kasih atas kecintaan rakyat Jepun terhadap panda.
Sayang sekali, kontrak pinjaman kedua-dua panda itu telah tamat pada bulan ini, manakala ketegangan hubungan antara China dan Jepun ekoran kenyataan Sanae Takaichi yang mencampuri kedaulatan dan keutuhan wilayah China turut menjejaskan usaha penyambungan kontrak baharu.
Satria pula berharap agar Jepun segera dapat memperbaharui kontrak perjanjian Program Kerjasama Panda Antarabangsa China, seiring dengan hasrat rakyat di kedua-dua negara.
Tidak dapat dinafikan bahawa Jepun menjaga panda gergasi dengan begitu teliti. Bahkan staf dari Pangkalan Pembiakan dan Penyelidikan Panda Gergasi Chengdu memberitahu Satria bahawa panda-panda yang dikembalikan dari Jepun, kebiasaanya mempertunjukan sifat pasif atau penakut.
Ini juga mengingatkan kita bahawa meskipun panda mempunyai karater yang comel, namun ia masih merupakan haiwan liar. Justeru, langkah pemeliharaan dan pemuliharaan panda di zoo atau pusat konservasi adalah bertujuan untuk mengembalikan haiwan berkenaan ke habitat semula jadi pada suatu hari nanti.
Begitu juga pasangan panda di Malaysia iaitu Xing Xing dan Liang Liang yang kembali ke China pada tahun lalu telah melakar sejarah tersendiri apabila melahirkan tiga ekor anak panda sepanjang tempoh berada di Malaysia.
Malah, warga siber di China turut berseloroh dengan menyatakan bahawa panda di Malaysia kelihatan sangat bersih kerana jarang berjalan sendiri pada waktu kecil, sebaliknya sering dipangku dan dipegang oleh staf di Zoo Negara.
Berdasarkan fakta yang dikongsikan oleh Pangkalan Pembiakan dan Penyelidikan Panda Gergasi Chengdu, haiwan comel berkenaan tidak berdepan dengan sebarang masalah jika kelihatan kotor kerana keadaan itu dilihat lebih mesra dengan alam semula jadi.
Pada kesempatan ini, Satria sekali lagi ingin menjelaskan bahawa program kerjasama perlindungan dan penyelidikan panda antarabangsa, bukan berkaitan denga diplomasi China, meskipun sememangnya akan dipengaruhi oleh hubungan diplomatik.
- Panda Gergasi Xiao Xiao, Lei Lei Selamat Kembali ke China
- Lima Panda Jumpa Orang Ramai di Fuzhou Panda World
- Indonesia Sambut Kelahiran Bayi Panda Gergasi Pertama
- Pangkalan Panda Baharu Dibuka kepada Orang Awam di Mianyang
- Genap Sebulan: Panda Chen Xing, Xiao Yue Sesuai di Malaysia
- "Teater Panda" sempena Musim Tayangan Program China Dilancarkan di Malaysia
- China Perkukuh Perlindungan Menyeluruh Panda Gergasi
- Pasangan Panda Gergasi Chen Xing, Xiao Yue Tiba di Malaysia
- Pangkalan Panda Gergasi Baharu Mula Operasi Percubaan di Chengdu
- Sichuan Pergiat Pembangunan Taman Negara Panda Gergasi




