Wang Yi: Keamanan, Kerjasama, Persahabatan Perlu Jadi Naratif Baharu Laut China Selatan

Menteri Luar China, Wang Yi, menyentuh isu Laut China Selatan pada satu sidang media pagi tadi.

Wang Yi berkata Laut China Selatan merupakan laluan perkapalan paling sibuk, selamat dan bebas di dunia. Sepanjang tahun lalu, kerjasama di kawasan itu terus menunjukkan perkembangan positif. China mengadakan perbincangan mendalam dengan Indonesia mengenai pembangunan maritim bersama, dialog dua hala dengan Malaysia mengenai isu maritim, serta kerjasama dengan Vietnam dalam pembangunan perikanan mampan.

Baru-baru ini, Pengawal Pantai China berjaya menyelamatkan anak kapal dari Filipina yang menghadapi kecemasan di laut. Semua ini membuktikan bahawa keamanan, kerjasama dan persahabatan perlu menjadi naratif baharu Laut China Selatan, dan tiada ruang untuk tindakan tidak berasas yang mencetuskan ketegangan.

Wang Yi menegaskan bahawa keamanan dan kestabilan yang berkekalan memerlukan sokongan institusi yang kukuh. Pelaksanaan Deklarasi Tatalaku Pihak-Pihak Berkepentingan di Laut China Selatan (DoC) diteruskan, manakala rundingan mengenai Kod Tatalaku di Laut China Selatan (CoC) kini memasuki fasa penting dan diharap dapat dimuktamadkan tahun ini.

Beliau berkata China bersedia bekerjasama dengan semua pihak untuk mengurangkan gangguan, mengecilkan jurang perbezaan, memperluas titik persamaan dan mencapai persetujuan secepat mungkin. COC akan menjadi garis panduan penting bagi mengurus perbezaan, membina kepercayaan dan menggalakkan kerjasama.

Beliau turut menyatakan harapan agar Filipina sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini dapat memainkan peranan positif demi keamanan dan kestabilan serantau.

Video

Berita Berkaitan