AmCham: China Tetap Magnet Pelaburan Asing

Foto dron bertarikh 25 Jun 2025 menunjukkan pemandangan di Pusat Sukan Teluk Shenzhen serta bangunan-bangunan sekitar, di Shenzhen, provinsi Guangdong, selatan China. (Xinhua/Mao Siqian)

Foto dron bertarikh 25 Jun 2025 menunjukkan pemandangan di Pusat Sukan Teluk Shenzhen serta bangunan-bangunan sekitar, di Shenzhen, provinsi Guangdong, selatan China. (Xinhua/Mao Siqian)

China tetap destinasi pilihan perniagaan asing, terbukti dengan semakin banyak syarikat yang ditinjau terus menanam modal dalam pasaran domestik meskipun keadaan ekonomi global berbaur ketidakpastian.

Menurut Laporan Khas 2026 Dewan Perniagaan AS Selatan China (AmCham South China) tentang Keadaan Perniagaan di Selatan China, 95 peratus syarikat yang terlibat nekad untuk terus beroperasi di China.

Laporan yang diterbitkan pada Selasa lalu itu menyebut, 45 peratus daripada syarikat berkenaan paling mengutamakan pelaburan di China, naik 6 mata peratusan berbanding 2024.

Selain itu, 75 peratus daripada syarikat yang ditinjau merancang untuk melabur semula di China pada 2026.

“Syarikat-syarikat menanam semula modal bukan sahaja untuk menambah syer pasaran, tetapi untuk menginovasi, menyetempat, dan meningkatkan integrasi mereka dalam ekonomi China,” jelas Harvey Seyedin, pengerusi dan presiden AmCham South China. “Pelaburan semula yang berterusan mencerminkan keyakinan terhadap ketahanan pasaran ini serta peranan utamanya dalam operasi perniagaan global.”

China juga masih lagi sumber hasil yang penting bagi banyak syarikat. Pada 2025, 37 peratus firma yang ditinjau menyatakan lebih daripada 60 peratus hasil global mereka datangnya daripada pasaran China.

Laporan itu juga menunjukkan bahawa 91 peratus daripada firma AS menolak kemungkinan memutuskan hubungan dengan China sebagai kesan langsung ketegangan perdagangan.

Sebanyak 426 syarikat terlibat dalam tinjauan terbaru ini, kebanyakannya dari AS, China dan Eropah. Antaranya, lebih daripada separuh adalah syarikat milik asing sepenuhnya, dan 32 peratus merupakan perusahaan modal AS.

Ujar Seyedin, syarikat asing sedang memperdalam lagi penglibatan di China, bukannya mengundurkan diri, kerana tertarik dengan skala pasaran, ekosistem inovasi yang sofistikated dan juga trajektori pertumbuhan jangka panjang.

Dapatan ini diumumkan ketika China sedang meneruskan usaha untuk mendorong keterbukaan bertaraf tinggi.

Bagi membolehkan pelabur asing lebih memanfaatkan kelebihan mereka dalam rantaian bekalan, pasaran dan inovasi, kerajaan China telah memperkenalkan beberapa inisiatif penting untuk menyediakan persekitaran perniagaan yang stabil dalam jangka panjang. China juga telah menghapuskan segala halangan akses pasaran untuk pelabur asing dalam industri pembuatan.

Memetik laporan kerja kerajaan yang diserahkan kepada badan perundangan tertinggi negara untuk dibahaskan, China akan memperdalam pembaharuan rangka kerja keinstitusian bagi menggalakkan kemasukan modal asing pada tahun ini. Langkah ini akan membuka pintu lebih luas kepada dunia luar, dengan usaha sejajar untuk mempertingkat akses pasaran dan membuka lebih banyak lapangan, terutamanya dalam sektor perkhidmatan.

Data rasmi turut menunjukkan suatu pertumbuhan berterusan dalam aktiviti pelaburan asing. Pada 2025, bilangan syarikat modal asing baharu di China mencecah 70,392, naik 19.1 peratus tahun ke tahun.

Video

Berita Berkaitan